SIBU, 29 Nov (Bernama) -- Dinamakan sebagai wakil DAP bagi kerusi Bawang Assan sehari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, Alice Lau Kiong Yieng kini menumpukan pada usaha mendekati akar umbi dalam menghadapi persaingan sengit di kawasan itu.
Ahli Parlimen Lanang yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu berkata beliau merancang untuk menjangkau seramai mungkin pengundi menerusi lawatan ke pasar, rumah panjang dan komuniti di seluruh kawasan pilihan raya itu, yang mempunyai 22,832 pengundi berdaftar.
“Saya akan cuba melawat seberapa ramai penduduk di lapangan, di kawasan Bawang Assan dan pasar, serta berusaha untuk mengunjungi rumah-rumah panjang. Namun, di Bawang Assan terdapat kira-kira 100 buah rumah panjang. Jadi, ia bukanlah sesuatu yang mudah, sebab itulah saya katakan kerusi ini sangat mencabar, tetapi saya akan berusaha sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas berkempen di Pasar Sentral Sibu di sini hari ini.
Lau berkata beliau memutuskan untuk bertanding di Bawang Assan bagi memastikan para pengundi mempunyai peluang untuk memilih wakil mereka dan bukannya membiarkan kerusi dimenangi tanpa bertanding.
“Pilihan raya tidak seharusnya menjadi sekadar formaliti atau satu bentuk pelantikan, dan mana-mana parti juga tidak wajar dibenarkan menentukan siapa wakil rakyat. Rakyatlah yang sepatutnya membuat keputusan,” tegasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan perwakilan pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi menyediakan mekanisme semak dan imbang serta menyumbang kepada dasar kerajaan yang lebih baik, berdasarkan pengalamannya di Parlimen.
Sekiranya terpilih, Lau menyatakan harapan untuk memperluas inisiatif kebajikan yang pernah diperkenalkannya sepanjang 13 tahun berkhidmat di Lanang, kepada penduduk di kawasan Bawang Assan.
Inisiatif itu termasuk bantuan untuk bayi baru lahir, pesakit hemodialisis dan kanser, bantuan pendidikan, sokongan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) serta khairat kematian.
DAP Sarawak mengumumkan pencalonan Lau pada Jumaat (27 Nov) iaitu sehari sebelum hari penamaan calon, susulan keputusan PKR untuk tidak bertanding dalam pilihan raya tersebut.
Beliau berdepan tentangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Kevin Lau Kor Jie daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dalam pertembungan satu lawan satu.
PRN kali ini menyaksikan Lau kembali ke Bawang Assan, kawasan di mana beliau pernah tewas kepada Datuk Seri Wong Soon Koh dengan majoriti 1,808 undi pada PRN 2011.
Wong, yang mewakili kawasan tersebut sejak 1991, tidak bertanding semula selepas berkhidmat selama tujuh penggal berturut-turut. Pada PRN 2021, beliau berjaya mempertahankan kerusi tersebut di bawah Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam pertandingan lima penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13, manakala pengundian awal akan diadakan pada 8 Dis.
Untuk perkembangan terkini mengenai PRN Sarawak ke-13, sila layari https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/
-- BERNAMA