Dunia 29/11/2026 05:28 PM

Dasar Berkecuali, Hubungan Diplomatik Malaysia Perkukuh Keselamatan Tenaga

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dasar Berkecuali, Hubungan Diplomatik Malaysia Perkukuh Keselamatan Tenaga

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Dasar luar Malaysia yang berkecuali, kedudukan geografi yang strategik dan hubungan diplomatik yang meluas menjadi penampan penting dalam melindungi keselamatan tenaga negara di tengah-tengah pergolakan ekonomi global, kata Pengarah Eksekutif Citizens International Imran Rasid.

Beliau berkata meskipun kejutan geopolitik, termasuk krisis penutupan Selat Hormuz, telah memberi tekanan besar terhadap daya tahan ekonomi beberapa negara jiran di rantau ini, rakyat Malaysia secara umumnya terlindung daripada kesan serta-merta krisis itu.

“Jika kita melihat kepada bekalan tenaga, kita banyak bergantung pada import minyak dari Arab Saudi dan negara-negara lain. Namun, disebabkan krisis ini dan hubungan baik kita dengan negara lain, kita berjaya mendapatkan perjanjian dengan negara-negara di Afrika, Amerika Selatan, malah Amerika Syarikat (AS).

“Dari segi geografi, kita berada pada kedudukan strategik di ASEAN yang menyaksikan banyak aktiviti ekonomi berlangsung, manakala dasar luar Malaysia sendiri agak menarik dalam mengharungi keadaan yang rumit ini,” katanya dalam program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk “Malaysia On The World Stage: Beyond The Handshake” baru-baru ini.

Menurut Imran, mengekalkan dasar luar yang berkecuali dan neutral adalah penting, meskipun Malaysia terus berpegang pada pendirian yang jelas dalam pelbagai isu antarabangsa.

Mengenai cara Malaysia mengekalkan kedudukannya dalam orde global yang semakin berpecah-belah, Imran mengenal pasti tiga tonggak utama yang mendasari daya tahan diplomatik negara, iaitu konsistensi, pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa dan dasar berteraskan prinsip sebagai sebuah negara Selatan Global.

Beliau berkata pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk “bekerjasama dengan semua pihak” membolehkan Malaysia kekal konsisten dalam menyatakan kepentingan nasionalnya, sama ada dalam hubungan dengan AS atau China, yang kedua-duanya kekal sebagai rakan dagang terbesar negara.

“Kedua, kita berpihak kepada institusi pelbagai hala dan undang-undang antarabangsa. Dalam isu Gaza misalnya, pendirian kita yang mengkritik Israel bukan didorong oleh sentimen, sebaliknya kerana pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas, sebagaimana disokong oleh laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya.

Sebagai sebuah negara Selatan Global, Imran berkata dasar luar Malaysia perlu terus mendukung prinsip keamanan, berkecuali, kerjasama Selatan-Selatan dan kedaulatan negara.

Melangkah ke hadapan, Imran menegaskan bahawa diplomasi tidak boleh diserahkan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya menyeru media, masyarakat sivil dan rakyat biasa menerajui “diplomasi rakyat”, selain menggesa Putrajaya membina keyakinan rakyat dan membawa wacana global ke peringkat akar umbi.

“Adalah penting bagi rakyat Malaysia menyedari bahawa kita tidak berada dalam kedudukan yang begitu selesa sebagai sebuah negara Selatan Global kerana sistem antarabangsa ketika ini tidak adil kepada kita dan perkara ini perlu dibincangkan secara meluas,” katanya.

-- BERNAMA