ISLAMABAD, 29 Nov (Bernama-Anadolu) -- Pakistan pada Ahad memaklumkan bahawa negara itu telah menghantar anggota tentera ke Arab Saudi berdasarkan komitmen yang dipersetujui dan rangka kerja kerjasama pertahanan sedia ada, ketika kumpulan Houthi memperhebat serangan terhadap infrastruktur minyak dan ekonomi Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut kenyataan tentera Pakistan, majlis pelepasan anggota tentera ke Arab Saudi pada Sabtu dihadiri Menteri Pertahanan Pakistan Khawaja Muhammad Asif dan Duta Arab Saudi ke Pakistan Rajeh Tami Albugamy.
Turut hadir Ketua Staf Am Tentera Darat Pakistan Leftenan Jeneral Omer Ahmed Bokhari dan Panglima Kor Lahore Leftenan Jeneral Muhammad Umer Bashir.
Penghantaran anggota tentera itu dilakukan beberapa hari selepas menteri pertahanan dan menteri luar negara anggota Pakatan Pertahanan Makkah tiga hala bermesyuarat di Islamabad, ibu negara Pakistan, serta menegaskan semula sokongan mereka untuk mempertahankan Arab Saudi.
“Penghantaran anggota tentera ini mencerminkan komitmen teguh Pakistan terhadap keselamatan, kedaulatan dan keutuhan wilayah Arab Saudi, berlandaskan perkongsian strategik serta hubungan persaudaraan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan tentera Pakistan.
Pakistan juga kekal komited untuk memelihara keselamatan Arab Saudi serta kesucian dua Tanah Suci, Makkah dan Madinah.
Menurut kenyataan itu, anggota tentera berkenaan akan melaksanakan tugas yang diamanahkan di wilayah Arab Saudi berdasarkan komitmen yang dipersetujui dan rangka kerja kerjasama pertahanan sedia ada.
“Penghantaran anggota tentera ini akan membantu memperkukuh keupayaan pertahanan Arab Saudi dalam menghadapi ancaman keselamatan yang timbul,” menurut kenyataan itu.
Pakistan dan Arab Saudi tahun lepas memeterai pakatan pertahanan bersama bagi mempertahankan satu sama lain sekiranya diserang oleh negara ketiga.
Pakatan itu membawa kepada pemeteraian perjanjian tiga hala di Makkah pada Ogos tahun ini oleh Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman.
Perjanjian itu bermatlamat memperkukuh keselamatan ketiga-tiga negara menerusi langkah pencegahan ancaman dan pertahanan secara kolektif.
-- BERNAMA-ANADOLU