Dunia 29/11/2026 05:25 PM

Wira Bondi Beach Dikurniakan Anugerah Keberanian Tertinggi Australia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Wira Bondi Beach Dikurniakan Anugerah Keberanian Tertinggi Australia
Ahmed al Ahmed, individu yang berjaya melucutkan senjata salah seorang penyerang dalam serangan pengganas di Pantai Bondi, dianugerahkan anugerah keberanian awam tertinggi Australia pada Ahad. (Foto: Facebook Ahmed al Ahmed)

SYDNEY, 29 Nov (Bernama-dpa) -- Ahmed al-Ahmed, yang berjaya melucutkan senjata seorang daripada penyerang dalam serangan pengganas di Bondi Beach pada Disember 2025, dikurniakan anugerah keberanian awam tertinggi Australia pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Gabenor Jeneral Australia Sam Mostyn berkata al-Ahmed dikurniakan anugerah Cross of Valour atas “keberanian luar biasa dalam keadaan yang amat berbahaya”.

Lelaki kelahiran Syria itu merupakan individu keenam menerima anugerah keberanian tertinggi yang diberikan kepada orang awam di Australia.

Al-Ahmed mengalami kecederaan tembakan pada bahu ketika insiden itu dan menjalani beberapa pembedahan.

Serangan ketika masyarakat Yahudi menyambut perayaan Hanukkah di Bondi Beach itu mengorbankan 15 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.

Tiga individu yang terkorban dalam serangan itu turut dikurniakan anugerah keberanian secara anumerta.

Boris dan Sofia Gurman menerima anugerah Star of Courage atas “tindakan yang memperlihatkan keberanian luar biasa dalam keadaan amat berbahaya”, manakala Ruvien Morrison dikurniakan Bravery Medal atas “tindakan berani dalam keadaan berbahaya”, menurut kenyataan pengurniaan anugerah itu.

Mostyn berkata keberanian yang ditunjukkan keempat-empat penerima anugerah itu mendapat penghormatan seluruh rakyat Australia, namun amat menyedihkan apabila tiga daripada mereka menerima pengiktirafan secara anumerta.

Beliau berkata ramai orang awam dan anggota pasukan kecemasan turut mempamerkan keberanian luar biasa ketika serangan itu.

“Memandangkan betapa besarnya kesan tragedi ini, masih banyak kisah keberanian dan keprihatinan yang belum disingkap. 

"Beberapa siasatan dan pertanyaan penting yang sedang dijalankan akan menyingkap kisah berkenaan.

“Hari ini menandakan permulaan pengiktirafan terhadap beberapa tindakan keberanian yang luar biasa,” kata beliau. 

-- BERNAMA-dpa