ISTANBUL, 29 Nov (Bernama-Anadolu) -- Kumpulan pejuang Palestin, Hamas pada Sabtu menuduh Lembaga Keamanan gagal memberi tekanan kepada Israel supaya membenarkan jawatankuasa teknokrat Palestin memasuki Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakap Hamas Hazem Qassem berkata jawatankuasa yang diketuai Ali Shaath itu telah berada di Kaherah selama beberapa bulan, sambil menyifatkan kegagalan lembaga itu memastikan kemasukan jawatankuasa berkenaan ke Gaza sebagai tanda kelemahan yang amat ketara.
Beliau menggesa jawatankuasa itu menjelaskan secara terbuka halangan yang menyebabkannya tidak dapat memulakan tugas di Gaza.
Qassem turut menyeru semua pihak supaya memudahkan kemasukan jawatankuasa itu ke Gaza bagi membolehkannya memulakan usaha bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula, selain menegaskan semula kesediaan Hamas menyerahkan semua tanggungjawab pentadbiran.
Kenyataan beliau menyusul sehari selepas media Israel melaporkan bahawa Kabinet Keselamatan Israel akan bermesyuarat pada Ahad bagi meluluskan langkah untuk melaksanakan pelan damai Gaza yang disokong Amerika Syarikat (AS).
Pada 20 Nov, dokumen Lembaga Keamanan yang disiarkan akhbar Yedioth Ahronoth memberi amaran bahawa Israel berisiko dianggap sebagai penghalang kepada pelaksanaan pelan damai itu kerana enggan memberikan komitmen setara dengan Hamas.
Hamas pada Julai bersetuju dengan pelan hala tuju bagi penyerahan kuasa pentadbiran kepada Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) serta pelucutan senjata.
Pada 9 Nov, Lembaga Keamanan memaklumkan bahawa kelewatan Israel meluluskan kemasukan bekalan bantuan kemanusiaan serta memenuhi komitmen di bawah Protokol Kemanusiaan Sharm El-Sheikh telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza.
Israel dan Hamas mencapai perjanjian gencatan senjata pada Oktober 2025 menerusi pelan yang disokong AS, namun pelaksanaan baki peruntukan perjanjian itu tergendala. Israel masih menguasai 70 peratus wilayah Gaza.
Menurut angka terbaharu yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Gaza, pelanggaran gencatan senjata oleh Israel telah mengorbankan 1,705 rakyat Palestin dan mencederakan 6,163 yang lain sejak perjanjian itu berkuat kuasa.
Perang genosid Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan 75,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 176,000 yang lain, selain memusnahkan 90 peratus infrastruktur wilayah itu.
-- BERNAMA-ANADOLU