Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Berpenampilan kemas, senyuman mesra dan kemahiran menyantuni penumpang yang sekian lama menjadi sebahagian daripada rutin kerja harian, kini diteruskan dalam persekitaran berbeza, bukan lagi di dalam kabin pesawat yang membelah awan tetapi di dalam tren.
Setelah lebih dua dekad berkhidmat dalam industri penerbangan, dua bekas pramugari Aida Sulaiman dan Atikah Abdul Razak, memulakan lembaran baharu sebagai kru tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), memanfaatkan pengalaman luas dalam mengendalikan penumpang daripada pelbagai latar belakang.
Bagi Aida, meskipun persekitaran dan mod pengangkutan berubah, asas perkhidmatan yang dipraktikkan sejak sekian lama kekal sama khususnya dalam memastikan penumpang berasa selesa dan mendapat bantuan sepanjang perjalanan.
“Servis yang kita lakukan sebenarnya sama sahaja, cuma bezanya dahulu di atas langit dan sekarang di darat. Pengalaman dalam industri penerbangan itu memang kita akan bawa ke sini,” katanya ketika ditemui Bernama pada sesi uji tren tersebut baru-baru ini.
Memulakan kerjaya dalam industri penerbangan pada 2004, anak kelahiran Klang, Selangor itu mengumpul pengalaman luas dalam aspek perkhidmatan pelanggan, keselamatan dan pertolongan cemas sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Pengalaman itu turut membentuk disiplin kerjanya, termasuk kepentingan menepati masa, menghadiri taklimat sebelum bertugas dan sentiasa bersedia menghadapi pelbagai situasi ketika mengendalikan penumpang.
Sebagai antara kumpulan pertama kru tren, anak kedua daripada lima beradik itu menjalani latihan selama sebulan di sebuah akademi penerbangan sebelum meneruskan latihan selama sebulan lagi di China bagi mempersiapkan diri dengan skop tugas dan persekitaran kerja baharu.
Penguasaan bahasa Mandarin juga menjadi kelebihan buatnya ketika berkomunikasi dengan pemandu tren dari China, manakala pengalaman sebagai jurulatih aspek kekemasan diri ketika bekerja di luar negara turut dimanfaatkan untuk membimbing kru baharu.
Sementara itu, Atikah yang mempunyai pengalaman kira-kira 20 tahun dalam industri penerbangan turut melihat penyertaannya dalam sektor rel sebagai peluang untuk meneroka bidang baharu dan memperluas pengalaman kerjanya.
Sepanjang berkhidmat dalam industri penerbangan, beliau pernah bekerja dengan beberapa syarikat penerbangan, termasuk dalam perkhidmatan jet peribadi sebelum mengambil keputusan menyertai operasi ECRL.
Bagi anak kedua daripada tiga beradik itu, peralihan berkenaan bukan sekadar pertukaran tempat kerja, sebaliknya peluang mengenali budaya kerja industri berbeza serta menyesuaikan pengalaman sedia ada dengan keperluan perkhidmatan tren.
“Masuk industri rel ini seperti melengkapkan kitaran saya sebagai kru, daripada penerbangan kepada kru tren. Setiap syarikat mempunyai budaya tersendiri dan industri tren juga ada budaya yang perlu kita pelajari,” katanya.
Atikah berkata pengalaman bekerja dengan beberapa syarikat penerbangan memberinya pendedahan kepada pendekatan perkhidmatan dan budaya kerja berbeza, sekali gus membentuk keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu.
“Kami akan terapkan apa yang sudah dilalui dalam industri penerbangan, termasuk sopan santun dan kesabaran dalam tugas sekarang,” katanya yang juga berharap dapat berkongsi kemahiran, ilmu serta dapat membimbing generasi baharu dalam memberi perkhidmatan terbaik dalam bidang berkenaan.
Rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Selangor di pantai barat Semenanjung dijadualkan beroperasi secara rasmi bermula 12 Dis depan dengan harga tiket sehala bermula pada RM24 bagi perjalanan transit.
Perkhidmatan itu mempunyai 20 buah stesen dengan 16 stesen akan beroperasi pada fasa pertama dan bakinya dijangka beroperasi pada fasa dua (Januari 2028), melibatkan liputan Gombak ke Pelabuhan Klang.
-- BERNAMA