Ekonomi 29/11/2026 10:17 AM

Mampu Milik, Keyakinan Pengguna Pemacu Utama Penggunaan EV Lebih Meluas Di Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mampu Milik, Keyakinan Pengguna Pemacu Utama Penggunaan EV Lebih Meluas Di Malaysia

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

 

Ini merupakan siri pertama daripada tiga bahagian laporan oleh Bernama yang meneliti peralihan Malaysia ke arah penggunaan kenderaan elektrik (EV) secara meluas dalam pasaran massa, dipacu oleh kemampuan milik yang lebih baik, peningkatan keyakinan pengguna serta pilihan kenderaan yang semakin pelbagai. Pemimpin industri daripada Proton dan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut berkongsi pandangan mengenai peningkatan permintaan EV, peluasan infrastruktur pengecasan serta faktor-faktor yang mencorakkan peralihan negara ke arah mobiliti elektrik.

 

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Malaysia sedang beralih ke fasa baharu yang menarik dalam pembangunan pasaran kenderaan elektrik (EV), yang ditandai dengan model-model yang semakin mampu milik serta keyakinan pengguna yang kian meningkat.

Faktor-faktor ini secara beransur-ansur mendorong penerimaan EV melangkaui golongan pengguna awal dan segmen premium, ke arah pasaran pengguna yang lebih luas, seiring dengan peningkatan jualan.

Para pemimpin industri automotif bersetuju bahawa pengguna kini semakin terbuka terhadap EV disebabkan oleh gabungan beberapa faktor; terutamanya harga yang kini berada di bawah paras psikologi RM100,000, malah ada di bawah RM80,000 sekali gus menarik minat pembeli daripada golongan berpendapatan sederhana.

Perkembangan ini secara tidak langsung meluaskan kelompok bakal pembeli. Bagi sebuah pengeluar kereta utama, jumlah tempahan kini melebihi bekalan sedia ada, satu petunjuk yang mencerminkan kematangan pasaran EV di negara ini yang semakin meningkat.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Rashid Musa berkata pengguna di Malaysia semakin terbuka terhadap EV bagaimanapun faktor seperti harga, ciri-ciri kenderaan, kekuatan rangkaian, dan keyakinan terhadap jenama kekal menjadi pertimbangan penting dalam keputusan pembelian.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain berkata kenderaan dengan harga yang kompetitif, pilihan model yang lebih pelbagai serta penambahbaikan dalam teknologi EV telah menjadikan mobiliti elektrik semakin mudah diakses oleh pengguna di Malaysia.

"Malaysia sememangnya sedang memasuki fasa baharu dalam pembangunan pasaran EV, dengan tanda-tanda menggalakkan bahawa penerimaan teknologi ini kini bergerak melangkaui segmen pengguna awal dan premium ke arah pasaran pengguna yang lebih luas," katanya.

Kepelbagaian pilihan EV yang lebih luas ini tercermin melalui jualan yang memberangsangkan bagi model-model seperti BYD, Zeekr, Tesla, dan jenama iCAUR daripada Chery, tersenarai antara EV dengan jumlah pendaftaran tertinggi di negara ini dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2026.

Antaranya, BYD Atto 3 mencatatkan 3,235 pendaftaran, diikuti oleh Zeekr 7X (2,796 unit), Tesla Model Y (2,356 unit), iCAUR V23 (2,206 unit), dan BYD Sealion 7 (1,610 unit).

Pasaran juga menyaksikan pengenalan lebih banyak model merentasi pelbagai segmen harga, termasuk JAECOO J5 EV, BYD Atto 2, dan Zeekr X, yang menawarkan pilihan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik yang lebih luas kepada pengguna.

Data MAA menunjukkan bahawa kenderaan berelektrik (xEV) merangkumi hampir 14 peratus daripada jumlah volum industri (TIV) setakat Julai 2026, dengan kenderaan elektrik bateri (BEV) menyumbang lebih daripada enam peratus, satu angka yang signifikan dalam mengembangkan pasaran kenderaan elektrik (EV).

Mohd Shamsor berkata pertumbuhan ini mencerminkan peningkatan penerimaan pengguna yang amat penting, kepelbagaian model EV yang menarik minat lebih ramai pembeli, dan yang lebih utama, pengenalan kenderaan dengan harga lebih kompetitif.

Sebagai petunjuk jelas kepada penerimaan EV yang ketara, Malaysia mencatatkan angka pendaftaran EV memberangsangkan sebanyak 53,537 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, ia merupakan peningkatan sebanyak 98.8 peratus berbanding 26,928 unit dalam tempoh yang sama pada 2025, menurut data dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada September, pendaftaran EV meningkat 70.7 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 6,029 unit, walaupun angka ini lebih rendah berbanding 8,833 unit didaftarkan pada Ogos.

Trend peningkatan dalam penerimaan EV jelas kelihatan, keyakinan terhadap peningkatan penerimaan ini mendorong MAA untuk menyemak semula unjuran jualan xEV bagi 2026, dengan menaikkannya kepada 120,000 unit daripada unjuran awal sebanyak 100,000 unit.

BEV dan kenderaan elektrik hibrid (HEV) masing-masing diunjurkan menyumbang kira-kira 60,000 unit.

 

Harga mampu milik pacupenerimaan lebih meluas

Mohd Shamsor berkata pengenalan model-model EV lebih mampu milik telah menurunkan halangan kemasukan bagi pengguna yang sebelum ini menganggap EV di luar kemampuan bajet mereka.

Faktor penyumbang lain yang tidak kurang pentingnya termasuk penambahbaikan dalam teknologi bateri, jarak pemanduan lebih jauh, prestasi pengecasan serta ciri-ciri kenderaan membantu menangani kebimbangan awal berkaitan pemilikan EV.

Faktor penting yang menarik minat pembeli ialah kos, memandangkan pengguna semakin peka terhadap potensi penjimatan dari segi kos penyelenggaraan dan operasi, terutamanya bagi mereka yang mempunyai akses kepada kemudahan pengecasan di rumah mudah digunakan.

“Ketersediaan infrastruktur pengecasan semakin meluas serta kesedaran lebih tinggi mengenai kelestarian alam sekitar turut menyumbang kepada sentimen pasaran yang positif,” katanya.

Abdul Rashid berkata ia menunjukkan pengguna di Malaysia terbuka untuk membeli kenderaan elektrik (EV), sama seperti mereka membeli kereta baharu yang lain, faktor-faktor seperti harga, ciri-ciri kenderaan, ketersediaan rangkaian pengecasan dan reputasi jenama memainkan peranan penting dalam keputusan akhir mereka.

Beliau merujuk kepada populariti Proton e.MAS 5, yang mencerminkan pendekatan pengeluar kereta nasional itu dalam memperkenalkan jenama dan produk EV mereka, dengan menangani pelbagai kebimbangan dalam kalangan pembeli EV buat kali pertama.

Abdul Rashid berkata beberapa model EV di Malaysia kini ditawarkan pada harga di bawah RM100,000, malah terdapat model daripada jenama lain dijual pada harga kurang daripada RM80,000, tawaran sebegini sememangnya menjadi daya penarik berkesan untuk memikat pembeli termasuk mereka yang sebelum ini mungkin tidak mempertimbangkan untuk beralih kepada EV.

Beliau berkata e.MAS 5 merupakan langkah permulaan bagi Proton dalam rangkaian kenderaan elektrik (xEV) mereka.

Dalam perkembangan menggalakkan, peningkatan penyetempatan dan jumlah eksport boleh membantu mengawal kos pengeluaran serta menyokong penawaran model dengan harga lebih kompetitif dalam jangka masa panjang.

Ini sememangnya satu berita baik bagi pembeli di Malaysia.

 

Permintaan melangkaui jenama individu

Mohd Shamsor berkata sambutan menggalakkan terhadap model e.MAS keluaran Proton merupakan petanda positif bagi keyakinan pengguna yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrik.

“Momentum ini turut dilihat dalam industri automotif secara lebih meluas, dengan beberapa pengeluar memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) baharu merentasi pelbagai segmen dan kategori harga,” katanya.

Mohd Shamsor menekankan bahawa persaingan sihat memberikan pengguna lebih banyak pilihan dari segi reka bentuk kenderaan, teknologi, jarak pemanduan, prestasi, dan harga.

Pada 2 Oktober, Proton mengumumkan bahawa rangkaian e.MAS telah mencapai jumlah penghantaran kumulatif sebanyak 40,000 unit, dengan model-model berelektrik menyumbang 19.3 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan pengeluar kereta nasional itu.

Proton akan terus menawarkan pelbagai teknologi rangkaian kuasa bagi memenuhi keperluan pengguna yang berbeza-beza, memandangkan akses kepada kemudahan pengecasan serta corak pemanduan harian adalah berbeza dalam kalangan pengguna kenderaan, kata Abdul Rashid.

“Memandangkan permintaan melebihi penawaran, boleh dikatakan populariti produk Proton e.MAS telah melangkaui jangkaan kami sendiri; oleh itu, kami amat menghargai sokongan serta keterujaan yang ditunjukkan oleh pembeli kereta di Malaysia.

Beliau berkata kenderaan elektrik bateri (BEV) mungkin sesuai untuk pengguna di kawasan bandar yang mempunyai kemudahan pengecasan di rumah dan menempuh perjalanan harian yang agak singkat, sebaliknya, kenderaan hibrid plug-in (PHEV) atau kenderaan hibrid (HEV) mungkin lebih sesuai bagi penduduk pangsapuri yang tidak mempunyai akses pengecasan di rumah atau mereka yang kerap melakukan perjalanan jarak jauh.

“Melalui portfolio kami, kami menawarkan pilihan yang menepati bajet, corak penggunaan, malah lokasi kediaman pelanggan. Ini bermakna semua jenis sistem pacuan adalah sama penting bagi Proton,” kata Abdul Rashid.

 

Mengekalkan momentum menjelang 2030

Mohd Shamsor yakin bahawa sasaran kerajaan untuk menjadikan kenderaan elektrik (xEV) merangkumi 20 peratus daripada jumlah jualan industri (TIV) menjelang 2030 adalah sesuatu yang boleh dicapai.

Walaupun sasaran ini agak mencabar, beliau menegaskan bahawa pencapaiannya memerlukan usaha yang berterusan dan terkoordinasi antara pihak kerajaan dan industri.

Secara keseluruhannya, beliau berkata aspek kemampuan harga mesti kekal sebagai keutamaan ia perlu disokong oleh rangka kerja dasar fiskal dan percukaian yang kondusif serta boleh dijangka terutamanya bagi menggalakkan penggunaan lebih meluas dalam kalangan pengguna berpendapatan sederhana.

Infrastruktur pengecasan juga perlu berkembang seiring dengan pertumbuhan kenderaan elektrik (EV), dengan tumpuan khusus untuk membangunkan rangkaian yang boleh dipercayai dan mudah diakses, bukan sahaja di pusat-pusat bandar utama, kata Mohd Shamsor.

Menurut data daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), terdapat 6,416 pengecas tersedia di seluruh negara setakat Mei, 2026.

Mohd Shamsor berkata banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk memasang pengecas di sepanjang lebuh raya, kawasan kediaman, dan tempat kerja, langkah berkenaan harus disusuli dengan usaha menangani cabaran praktikal dalam pemasangan kemudahan pengecasan di kawasan kediaman bertingkat.

Beliau berkata kepentingan konsistensi dan kejelasan dasar bagi menyokong keputusan pelaburan jangka panjang, yang merangkumi aspek pemasangan tempatan, penyetempatan, pembangunan teknologi, serta rantaian bekalan.

“Kesimpulannya, pencapaian sasaran 2030 tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah kenderaan elektrik diperkenalkan ke dalam pasaran,” kata Mohd Shamsor.

Beliau berkatya satu pendekatan yang mampan Ekosistem tersebut juga mesti memastikan pengguna mempunyai akses kepada kenderaan yang mampu milik, kemudahan pengecasan yang boleh diharap serta perkhidmatan selepas jualan yang menyeluruh.

Dari sudut pengguna, Abdul Rashid kekal optimis bahawa kenderaan berelektrik akhirnya akan menjadi pilihan pembelian, tanpa memerlukan perubahan gaya hidup yang ketara.

“Kami menjangkakan satu masa pada masa depan yang tidak begitu lama, di mana pemilihan antara kenderaan berelektrik (xEV) dan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) akan bergantung kepada cita rasa peribadi, dan bukannya menuntut perubahan gaya hidup,” katanya.

-- BERNAMA