KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Bernama TV akan menyiarkan dokumentari khas bertajuk ‘Payung Mahkota Selangor: 25 Tahun di Singgahsana’ pada 8.30 malam ini bersempena dengan sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dokumentari berdurasi 30 minit itu menelusuri perjalanan pemerintahan baginda sejak menaiki takhta pada 2001, dengan mengetengahkan keperibadian, prinsip kepimpinan serta aspirasi baginda terhadap pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Menerusi wawancara eksklusif bersama Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, sahabat terdekat serta warga kerja istana, penonton berpeluang mengenali keperibadian baginda daripada perspektif individu yang dekat dengan kehidupan Sultan Selangor.
Dokumentari itu turut mengetengahkan minat baginda terhadap dunia permotoran klasik dan pelayaran, termasuk pengalaman menyertai ekspedisi antarabangsa, selain penghargaan baginda terhadap sejarah, kesenian dan pemeliharaan warisan budaya.
Keprihatinan baginda terhadap pendidikan dan kebajikan rakyat turut dipaparkan menerusi pelbagai inisiatif Yayasan Sultan Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.
Dokumentari itu turut memuatkan perkongsian daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti Orang Asli Mah Meri, penggiat seni tradisional dan pengusaha pertanian, yang mencerminkan hubungan institusi diraja dengan rakyat.
Menggabungkan wawancara eksklusif, rakaman arkib serta penggambaran di pelbagai lokasi di Selangor, dokumentari berkenaan merakam perjalanan pemerintahan baginda serta peranan institusi diraja dalam pembangunan negeri dan kehidupan rakyat.
‘Payung Mahkota Selangor: 25 Tahun di Singgahsana’ boleh ditonton menerusi Bernama TV di saluran Astro 502, Unifi TV 631, MYTV 121 serta Facebook Bernama TV.
-- BERNAMA