Am 29/11/2026 10:23 AM

Dua Sahabat Jelajah Semenanjung Dengan Berjalan Kaki, Singgah Di Hampir 200 Masjid Dan Surau

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Sahabat Jelajah Semenanjung Dengan Berjalan Kaki, Singgah Di Hampir 200 Masjid Dan Surau

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Hampir 200 masjid dan surau disinggahi dua sahabat dari Sandakan, Sabah dalam kembara berjalan kaki mengelilingi Semenanjung, yang memberi mereka peluang untuk beriktikaf dan mengenali lebih dekat masyarakat setempat.

Ruslie Jokulon, 58, dan Mhd Alnizam Nadzree, 35, yang masing-masing bekerja sendiri, memulakan Kembara Vol 9 Jelajah Tanah Melayu dari Padang Besar, Perlis pada 18 Ogos lepas dan berada di Kuala Terengganu pada hari ke-103 kembara itu, semalam.

Ruslie yang lebih dikenali sebagai Coach Lie, ketika dihubungi Bernama berkata mereka telah berjalan sejauh kira-kira 1,700 kilometer (km) dari Perlis ke Terengganu melalui Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang, dengan masjid dan surau menjadi pilihan untuk solat dan beriktikaf pada waktu malam.

“Bagi saya, kembara ini ibarat universiti kemanusiaan, kelas tanpa dinding untuk kami mengenali budaya setempat, menikmati hidangan tempatan dan merasai cuaca di sini sambil berjalan kaki seperti nenek moyang kita dahulu,” katanya.

Coach Lie yang bekerja dalam sebagai pakar motivasi bebas, berkata beliau meminati kegiatan mendaki gunung sejak remaja dan pernah mengembara dengan beg galas hingga Eropah sebelum mula aktif berjalan kaki jarak jauh sejak dua tahun lepas.

Maju Johor

Menurutnya, lapan siri kembara terdahulu telah membawa beliau menjelajah Sabah, Sarawak, Brunei dan Nepal, termasuk perjalanan sejauh 1,800 km dari Telok Melano, Sarawak ke Kudat, Sabah pada tahun lepas.

Membandingkan pengalamannya berjalan kaki di Borneo dan Semenanjung, Coach Lie berkata beliau tertarik melihat begitu banyak masjid di sepanjang laluan mereka serta kemudahan yang disifatkannya jauh lebih baik berbanding di Sabah, termasuk bilik musafir yang disediakan di sesetengah masjid untuk pengembara seperti mereka bermalam.

“Malah, infrastruktur jalan raya di sini juga lebih baik kerana jalan di dalam ladang sawit pun berturap sedangkan di tempat kami masih ada jalan utama berbatu kelikir, jadi kami berharap masyarakat di Malaysia Timur turut dapat menikmati kemudahan jalan raya yang sama,” katanya.

Berkongsi rutin kembara mereka, Coach Lie berkata mereka biasanya mula berjalan selepas 8 pagi sambil membawa beg galas seberat kira-kira 25 kg dan berusaha tiba sebelum gelap di masjid tempat mereka bermalam, dengan jarak perjalanan bergantung pada kedudukan masjid serta had maksimum 25 km sehari.

Selain bermalam di masjid, mereka ada kalanya menerima pelawaan menginap di inap desa dan hotel daripada individu yang mengikuti kembara mereka menerusi siaran langsung di TikTok. Malah ada yang sanggup menempah dan membayar penginapan untuk mereka.

Maju Johor

Mengimbas pelbagai cabaran sepanjang perjalanan, Coach Lie berkata mereka telah mengharungi cuaca panas terik dan jerebu pada peringkat awal, berdepan risiko kehadiran haiwan liar ketika merentasi kawasan hutan di Mersing, dan kini perlu meneruskan perjalanan dalam keadaan hujan berikutan musim tengkujuh yang melanda negara.

Sementara itu, Mhd Alnizam berkata antara pengalaman yang paling diingatinya ialah bermalam di Chief’s Rest House di bandar diraja Pekan, Pahang, atas pelawaan sebuah keluarga yang pernah menyediakan penginapan untuk mereka di Johor.

“Rumah itu masih lagi dalam keadaan kolonial, ertinya masih daripada yang zaman reka bentuk British, warna putih, cantik dan masih terjaga,” katanya yang turut berpeluang menikmati hidangan yang diperkenalkan kepada mereka sebagai santapan diraja.

Kedua-dua sahabat itu ditemani oleh beberapa individu lain pada sebahagian perjalanan sebelum ini, dan untuk kembara yang masih berbaki, mereka disertai Jumat Hippin, 44, dari Kota Marudu, Sabah yang berjalan bersama-sama dari Kota Tinggi, Johor melalui Kelantan, Perak dan Kedah dengan ketiga-tiganya dijangka tiba di Padang Besar sekitar pertengahan Disember.

-- BERNAMA