KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Lebih 780 peserta menyertai program “Scam Alert Day SSM X NSRC” anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama strategik Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah penipuan kewangan.
SSM dalam kenyataan memaklumkan program bertemakan “Spot The Scam, Stop The Scam, Say No To Scam” yang berlangsung pada 18 Nov lepas di sini, merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan agensi itu dalam memerangi sindiket penipuan dan pelaburan haram.
Menurut SSM, program itu menyediakan pelbagai pengisian pendidikan dan kesedaran oleh agensi terlibat termasuk pameran, perkongsian langkah pencegahan serta panduan saluran pelaporan rasmi kepada pihak berkuasa.
“Satu kaji selidik kesedaran awam turut dilaksanakan melibatkan penyertaan lebih 250 responden bagi menilai tahap pengetahuan dan pemahaman masyarakat mengenai pelaburan haram serta jenayah penipuan kewangan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, program menghimpunkan pelbagai agensi penguatkuasaan, badan kawal selia dan pihak berkepentingan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Turut serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta CyberSecurity Malaysia (CSM).
Semasa program berlangsung, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSM Rezy Izwan Ramly turut mengunjungi reruai pameran SSM serta agensi yang terlibat bagi meninjau pelbagai inisiatif, perkhidmatan dan bahan hebahan yang disediakan.
Kempen kesedaran Scam Alert SSM dilaksanakan sejak 2018 sebagai platform kerjasama strategik antara pelbagai agensi bagi meningkatkan literasi kewangan rakyat serta memperkukuh usaha pencegahan jenayah penipuan komersial.
Orang ramai boleh menghubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan dan Maklum Balas menerusi SSM Chatbot atau Live Chat melalui portal rasmi SSM, menghubungi talian 03-7721 4000 atau e-mel ke enquiry@ssm.com.my. untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA