SHAH ALAM, 28 Nov (Bernama) -- STEM Fest 2026 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberikan ruang kepada generasi muda meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi menerusi lebih 30 aktiviti serta program menarik di SACC Mall di sini.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata peluang untuk generasi muda melihat potensi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam diri masing-masing tidak sepatutnya terhad kepada mereka yang berkemampuan.
Beliau turut menyifatkan golongan muda yang memilih untuk melibatkan diri dalam bidang berkenaan sebagai aset kepada Selangor yang mampu menyumbang kembali bukan sahaja kepada komuniti malah negara menerusi kepakaran inovasi dan kebolehan penyelesaian masalah.
“Bakat wujud dalam setiap komuniti. Apa yang membezakan adalah sama ada kita menyediakan peluang, galakan dan sokongan untuk mengembangkan bakat tersebut. Oleh itu, STEM perlu mudah diakses, bersifat praktikal dan relevan dengan kehidupan seharian anak-anak kita.
“Tanggungjawab kita adalah untuk mengenal pasti bakat sejak awal, menggilapnya secara berterusan serta memastikan peluang yang diberikan tidak ditentukan oleh pendapatan keluarga atau tempat tinggal kanak-kanak berkenaan. Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk meneroka potensi dan mengetahui sejauh mana kemampuan mereka untuk berjaya,” katanya dalam teks ucapan pada Majlis Pelancaran STEM Fest 2026 di sini hari ini.
Teks ucapan Mohammad Fahmi dibacakan oleh Setiausaha Kanan Pejabat Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Datuk Mohd Syukri Abdul Majid.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Asrida Asim@Hashim serta Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PKNS Dr Azlina Jaapar.
Sementara itu, Mohammad Fahmi turut menyambut baik cadangan penubuhan Hab Inovasi PKNS di SACC Mall, sambil menyatakan idea itu wajar dipertimbangkan dengan lebih lanjut kerana berpotensi menyediakan ruang berterusan untuk pembelajaran, eksperimen dan kerjasama.
“Kita tidak seharusnya membiarkan pendedahan kepada STEM hanya berlangsung sekali setahun sempena sesuatu festival. Bayangkan sebuah tempat yang membolehkan pelajar, sekolah, universiti, syarikat teknologi dan komuniti berkumpul sepanjang tahun untuk mempelajari kemahiran baharu, mendapatkan bimbingan, membangunkan prototaip serta menterjemahkan idea kepada penyelesaian sebenar.
“Saya juga melihat potensi inisiatif ini untuk melengkapi pembangunan Aneka Walk dan Shah Alam Central, dengan menjadikan kawasan ini bukan sahaja destinasi komersial, tetapi juga ruang ilmu, kreativiti dan aktiviti komuniti,” katanya.
STEM Fest yang memasuki tahun kesembilan penganjurannya dilaksanakan hasil kerjasama PKNS dengan STEM 4 All Makerspace bersempena dengan Minggu Sains Negara 2026, membabitkan penyertaan lebih 50 sekolah.
Pelbagai pengisian interaktif disediakan, antaranya melibatkan realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR), teknologi dron, pemodelan tiga dimensi (3D), robotik dan Cabaran STEM Explore selain bengkel Internet benda (IoT) serta pembangunan aplikasi mudah alih.
Pada majlis sama, sebanyak 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Subang turut diiktiraf selepas menamatkan Program Intervensi STEM selama 20 minggu yang disokong Urus Setia Inovasi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menerusi pembangunan projek akhir menggunakan teknologi micro:bit (papan pengawal mikro bersaiz poket).
Selain Cabaran 3D Modeling yang menampilkan 10 finalis terbaik, Mohd Syukri berkata festival itu turut dimeriahkan dengan program Gifts for Grabs untuk memberi peluang kepada pelajar yang pernah memenangi pertandingan STEM sebelum ini mendapatkan kit pendidikan STEM serta berkongsi pengalaman dan pencapaian mereka sebagai inspirasi kepada rakan sebaya.
“Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti mesra keluarga termasuk Goolee Family Challenge, Beyblade X Learn to Play, Bengkel Radio FM dan Bengkel 3D Printing yang memperkenalkan aplikasi teknologi melalui pengalaman pembelajaran secara praktikal,” katanya.
Sementara itu, PKNS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan lokasi penganjuran mencerminkan usaha perbadanan itu memanfaatkan ruang komersial sebagai platform aktiviti komuniti dan pembelajaran, sekali gus memperluas fungsi pusat beli-belah melangkaui aktiviti peruncitan.
-- BERNAMA