Am 28/11/2026 08:37 PM

Saifuddin Nasution Bantu Urusan Pasport Tiga Anak Allahyarham Kapten AA Ke Oman

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Saifuddin Nasution Bantu Urusan Pasport Tiga Anak Allahyarham Kapten AA Ke Oman
fb Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Tiga anak Allahyarham Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA, telah menerima pasport masing-masing bagi membolehkan mereka ke Oman untuk memberi penghormatan terakhir kepada bapa mereka yang akan dikebumikan di negara itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketiga-tiga beradik itu, Isa, Hud dan Luth, menerima pasport petang ini di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam, Selangor hasil tindakan segera pihaknya selepas menerima maklumat mengenai kesukaran mereka mendapatkan pasport.

“Sebak hati saya memikirkan tiga beradik ini. Dalam saat baru kehilangan ayah tersayang, mereka sedang berusaha untuk sampai ke sana bagi memberi penghormatan terakhir.

“Saya segera meminta pegawai saya menghubungi (Pengasas RARETV) Saudara Saiful Nang untuk mendapatkan maklumat lanjut dan menyelaras urusan pasport bersama wakil keluarga di sini. Alhamdulillah, petang ini Isa, Hud dan Luth telah menerima pasport mereka di UTC Shah Alam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Saifuddin Nasution turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia atas tindakan pantas serta semua pihak yang membantu menguruskan perkara berkenaan.

Beliau turut mendoakan agar perjalanan anak Allahyarham itu dipermudahkan selain berharap keluarga diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian berkenaan.

“Takziah buat keluarga, moga Allah SWT mempermudah perjalanan anak-anak ini dan mengurniakan kekuatan kepada seluruh keluarga. Semoga Allah SWT mengampuni Allahyarham, merahmati rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya. 

Media semalam melaporkan pengacara dan personaliti media sosial RARETV, Akhmal Asyraf meninggal dunia di Muscat, Oman pada Khamis, 6.58 petang (10.58 malam waktu Malaysia) selepas menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru.

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan Saiful Nang menerusi platform Threads.

Allahyarham berada di negara berkenaan bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027 yang menelusuri sejarah Islam dan kisah para anbiya.

Sebelum ini, Allahyarham menerima rawatan di Hospital Nizwa selepas mengalami demam selama tiga hari sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat susulan kesukaran bernafas.

-- BERNAMA