MOSCOW, 28 Nov (Bernama-dpa) -- Presiden Rusia Vladimir Putin menghadiri upacara menaikkan bendera tentera laut bagi kapal selam berkuasa nuklear Perm di limbungan kapal Sevmash di Severodvinsk, barat laut Rusia pada Jumaat, menandakan penyerahan rasmi kapal selam itu kepada Tentera Laut Rusia, lapor agensi berita Jerman dpa.
Menurut Kremlin, Perm merupakan kapal selam pertama yang dilengkapi peluru berpandu hipersonik Zircon sebagai persenjataan standard.
Kapal selam itu akan menyertai Armada Pasifik Rusia, yang dijangka memperkukuh kehadiran ketenteraan negara itu di rantau Timur Jauh dan Artik.
"Rusia merupakan antara segelintir negara di dunia yang mampu membina kapal selam nuklear sehebat ini - senjata dengan jangkauan dan kepentingan global," kata Putin pada upacara pentauliahan itu.
Putin turut mengumumkan bahawa Tentera Laut Rusia akan menerima lima lagi kapal selam pembawa peluru berpandu menjelang 2030, termasuk tiga daripada kelas Yasen-M, iaitu kelas yang sama seperti Perm.
Limbungan kapal Sevmash yang bertanggungjawab membina kapal selam itu terletak di Severodvinsk di Laut Putih,berhampiran Arkhangelsk di barat laut Rusia.
Rusia sebelum ini telah menggunakan peluru berpandu Zircon dalam serangannya terhadap Ukraine, yang kini memasuki tahun kelima.
Konflik itu turut mengakibatkan kerugian besar kepada Armada Laut Hitam Rusia, dengan serangan Ukraine memaksa kapal tentera laut Rusia dipindahkan dari beberapa bahagian di barat Laut Hitam.
-- BERNAMA-dpa