Am 28/11/2026 09:08 PM

842 Orang Dipindahkan Akibat Banjir Di Sabah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
842 Orang Dipindahkan Akibat Banjir Di Sabah
Foto: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah

KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Sebanyak 842 orang dipindahkan akibat banjir di Sabah setakat 8 malam ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah.

Menurut kenyataan jawatankuasa itu malam ini, pemindahan tersebut melibatkan 291 keluarga daripada sembilan kampung di tiga daerah iaitu Beaufort, Sook dan Nabawan yang kini ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).

Beaufort merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 300 orang daripada 107 keluarga, diikuti Sook dengan 281 orang daripada 82 keluarga dan Nabawan, 261 orang daripada 102 keluarga.

Jawatankuasa itu memaklumkan jumlah mangsa di semua PPS terus meningkat hari ini selepas 170 mangsa daripada 49 keluarga dipindahkan pada 12 tengah hari disusuli 534 mangsa daripada 203 keluarga pada 4 petang.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini dan tiada mangsa yang terjejas atau terkepung di luar PPS direkodkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah.

Empat PPS yang dibuka ialah Dewan Gereja SIB Salarom Baru di Nabawan sejak 7.30 malam semalam, Dewan Masyarakat Sook pada 9 pagi tadi, Dewan DSP Dun Banir di Beaufort (11 pagi) dan Dewan Gereja St. Petrus di Sook pada 12.20 tengah hari.

Daripada keseluruhan 842 mangsa yang berdaftar di PPS, seramai 529 orang ialah dewasa dan warga emas terdiri daripada 282 wanita dan 247 lelaki, manakala 313 orang lagi ialah kanak-kanak serta bayi.

Banjir di daerah terbabit berlaku akibat hujan lebat yang sejak Khamis lepas.

-- BERNAMA