KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memohon maaf kepada semua pihak berhubung isu persembahan segmen hiburan ala konsert semasa Majlis Konvokesyen ke-23 universiti itu baru-baru ini yang menerima banyak teguran daripada masyarakat.
UniKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil serius perkara itu dan bertanggungjawab sepenuhnya atas teguran Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Sebagai sebuah institusi pendidikan di bawah MARA dan sebahagian daripada Kumpulan MARA Corp, UniKL memandang serius perkara ini dan bertanggungjawab sepenuhnya.
“Majlis konvokesyen adalah upacara kemuncak pengiktirafan ilmu yang wajar dipelihara adab dan kesantunannya. Pihak UniKL memohon maaf atas kekhilafan tersebut dan akan membentangkan langkah-langkah penambahbaikan kepada pihak MARA dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
UniKL turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh graduan konvokesyen ke-23 kerana kejayaan mereka adalah hasil usaha gigih dan pengorbanan bertahun-tahun, selain kekal sebagai pencapaian yang dibanggakan.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai persembahan hiburan ala konsert sempena majlis konvokesyen UniKL di universiti itu baru-baru ini yang bukan sahaja mendapat teguran Asyraf Wajdi sendiri tetapi juga daripada netizen.
-- BERNAMA