KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Technology Depository Agency Berhad (TDA) merangkul tujuh anugerah, termasuk juara keseluruhan pada Jobstore Top Employer Awards 2026.
TDA mendominasi kategori perkhidmatan awam apabila meraih anugerah emas Top Employer of the Year, Top Employer of Best Workplace dan Top HR Team of the Year, selain turut menerima anugerah perak untuk Top Employer of Preferred Graduate dan gangsa bagi Top Employer of Branding, manakala Ketua Sumber Manusia dan Pentadbiran Hiswadi Anuar dinobatkan Top HR Leader of the Year..
Ketua Pegawai Eksekutif TDA Mohamad Rafidi Mat Dahan berkata pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan agensi berkenaan dalam pembangunan modal insan dan menjaga kebajikan pekerja.
"Sebarang pengiktirafan menjadi penyuntik motivasi. Pengiktirafan yang diterima hari ini memperlihatkan usaha kami dalam membangunkan modal insan mendapat perhatian pihak luar. Secara peribadi, selaku CEO, saya berharap pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada warga kerja untuk terus meningkatkan prestasi dan standard pada masa hadapan," katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian anugerah itu di sini malam tadi.
Beliau berkata bagi memastikan kepuasan dan komitmen jangka panjang pekerja, TDA menumpukan kepada menempatkan petugas bersesuaian dengan kemahiran, keupayaan dan minat, selain menyediakan peluang latihan serta pembangunan secara berterusan.
"Kami mempunyai indeks petunjuk prestasi (KPI) dan sasaran yang perlu dicapai, namun kebajikan pekerja senantiasa diberikan keutamaan. Apabila pihak pengurusan mengamalkan pendekatan sedemikian, ia dapat mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat serta meningkatkan komitmen pekerja," katanya.
Sementara itu, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) turut meraih enam anugerah, termasuk anugerah emas dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi Top Employer of the Year dan Top Employer of Best Workplace, selain anugerah gangsa bagi Top HR Team of the Year.
Dalam kategori swasta, syarikat pengendali lebuh raya itu meraih anugerah kecemerlangan Top Employer of the Year dan Top Employer of Best Workplace, selain anugerah gangsa bagi Top HR Team of the Year.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR Muhammad Nizam Alias berkata pengiktirafan itu amat bermakna memandangkan syarikat masih agak baharu selepas mengambil alih empat lebuh raya.
"Kami mahu pekerja tahu bahawa mereka dihargai. Selain menyediakan pelbagai faedah dan kemudahan, pemimpin perlu turun padang, memahami kebimbangan mereka dan menganggap mereka sebagai sebahagian daripada keluarga. Apabila pekerja gembira dan mempunyai motivasi, mereka akan berupaya memberikan perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai kepada rakyat, di samping menyokong matlamat kerajaan," katanya.
Ridzuan menyifatkan pengiktirafan itu sebagai cerminan perjalanan transformasi kumpulan berkenaan sepanjang lima tahun lepas.
"Anugerah ini kemenangan seluruh pasukan. Ia mengiktiraf usaha pasukan sumber manusia, pihak pengurusan dan pekerja. Memenangi anugerah bukan matlamat akhir. Sebaliknya, ia sebahagian daripada perjalanan dan satu pencapaian penting dalam usaha untuk terus melakukan penambahbaikan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jobstore Daniel Chong berkata anugerah berkenaan menjadi platform kepada organisasi untuk menilai amalan pengurusan tempat kerja masing-masing, mempelajari pendekatan rakan industri serta memperkukuh komitmen terhadap pembangunan pekerja.
Beliau berkata kejayaan perniagaan tidak seharusnya diukur berdasarkan prestasi kewangan semata-mata, tetapi turut mengambil kira cara organisasi membangunkan bakat, menjaga kebajikan pekerja dan memupuk budaya kerja yang positif.
Pengerusi panel juri Dr Kamaruzaman Md Ali, yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), menggesa majikan supaya memberikan penekanan lebih besar terhadap pembangunan bakat, dan perancangan penggantian bagi memastikan kemampanan kesinambungan tenaga kerja.
Beliau berkata usaha meningkatkan dan melatih semula kemahiran secara berterusan, disokong penggunaan teknologi serta inovasi, amat penting bagi memastikan rakyat bersedia menghadapi pekerjaan bernilai tinggi pada masa hadapan.
-- BERNAMA