KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa Universiti Malaysia Sabah (UMS) supaya terus memanfaatkan keunikan geopolitik, kepelbagaian biologi serta khazanah budaya Borneo bagi melahirkan modal insan berkelas dunia sekali gus menerajui wacana pembangunan tanah air.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah sentiasa memandang tinggi keupayaan dan kepimpinan akademik UMS untuk terus memainkan peranan signifikan sebagai pusat kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi dan pemikiran strategik pada peringkat serantau.
Sejak penubuhan universiti itu, katanya, UMS berkembang pesat dan membuktikan peranannya sebagai The Brain of Borneo, bukan sahaja berdiri kukuh sebagai institusi pengajian tinggi di utara Borneo malah berjaya meletakkan dirinya sebagai simbol kecemerlangan akademik dan penyelidikan.
"Sebagai sebuah institusi unggul di Borneo, UMS perlu terus memanfaatkan keunikan geopolitik, kepelbagaian biologi (biodiversiti) yang kaya serta keunikan khazanah budaya Borneo bagi melahirkan modal insan berkelas dunia," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-28 di sini hari ini.
Hajiji yang juga Pro-Canselor UMS berkata kerajaan negeri menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) terus meletakkan pembangunan modal insan, pendidikan serta penguasaan teknologi dan transformasi digital sebagai pemacu utama kemajuan negeri.
Beliau berkata peluang dalam ekonomi biru, digital, keusahawanan, kelestarian alam sekitar dan inovasi menuntut graduan supaya sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan pantas dunia hari ini.
"Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited, bertekad dan berpegang teguh pada prinsip bahawa tiada anak tempatan Sabah keciciran daripada mendapat pendidikan tinggi berkualiti hanya disebabkan oleh kekangan kewangan atau latar belakang sosioekonomi," katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata UMS berperanan penting dalam menangani cabaran global termasuk perubahan iklim, keterjaminan makanan dan kemerosotan sumber asli melalui penyelidikan dan inovasi yang menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) khususnya dalam teknologi hijau dan keterjaminan makanan.
Ketua Menteri berkata kerajaan negeri komited menyokong penyelidikan UMS yang selari dengan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) serta inisiatif Ekonomi Biru Sabah khususnya dalam pembangunan tenaga boleh baharu, akuakultur moden dan sumber marin.
Katanya kepakaran UMS antara lain menerusi Institut Marin Borneo berpotensi menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi biru negeri manakala kerjasama dengan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah membuka ruang kepada penyelidikan pertanian pintar, varieti padi tahan perubahan iklim, perikanan mampan dan bioteknologi.
Graduan UMS juga diharap dapat memainkan peranan dalam pembangunan negeri dengan memanfaatkan ilmu, kemahiran dan kepakaran bagi menyumbang kepada kemajuan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat demi masa depan Sabah, katanya.
-- BERNAMA