SEREMBAN, 28 Nov (Bernama) -- Pengunjung Program Yakin MADANI Edisi Negeri Sembilan mengambil peluang mendapatkan tempat bagi merasai sendiri pengalaman menaiki tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersempena dengan operasi percubaan yang dijadualkan pada 1 hingga 3 Dis ini.
Seorang pengunjung, Ardini Aina Mohd Ridzuan, 21, dari Paroi, berkata dia bersama empat ahli keluarganya mengambil peluang berkenaan untuk merasai pengalaman menaiki ECRL sambil berkunjung ke Kota Bharu, Kelantan bagi mengisi masa bersama keluarga.
“Kami sekeluarga nak cuba pengalaman naik ECRL dari Gombak ke Kota Bharu. Saja nak jalan-jalan dan makan-makan sambil merasai pengalaman baharu,” katanya kepada Bernama di Program Yakin MADANI di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES), Paroi, di sini hari ini.
Sementara itu, pesara kerajaan, Siti Rohana Omar, 58, berkata dia turut mengambil peluang mendapatkan tempat bagi perjalanan ke Kota Bharu bersama anaknya selepas sebelum ini menggunakan kereta untuk ke destinasi berkenaan.
“Sebelum ini naik kereta, kali ni nak cuba ECRL dengan anak saja sambil jalan-jalan. Percuma pula, jadi rasa macam satu pengalaman baru. Semoga perjalanan pergi dan balik selamat,” katanya.
Sebanyak 2,000 tempat duduk ditawarkan khas kepada pengunjung Program Yakin MADANI Edisi Negeri Sembilan untuk merasai sendiri pengalaman menaiki tren ECRL semasa operasi percubaan.
Perjalanan pergi dan balik antara Stesen Gombak dan Stesen Kota Bharu dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 3 Dis ini.
Pengunjung yang berminat boleh mendapatkan tawaran istimewa itu di reruai ECRL di Program Yakin MADANI di KOMBES yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 10 malam hari ini dan 9 pagi hingga 5 petang esok dan pendaftaran percuma serta tertakluk kepada kuota disediakan.
Program Yakin MADANI yang diadakan di lima lokasi terpilih di seluruh negara bermula hari ini, dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri sebagai manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan setiap dasar dan inisiatif diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.
Yakin MADANI turut membuka ruang interaksi dua hala antara masyarakat dengan wakil kementerian dan agensi kerajaan, sekali gus membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, menikmati kemudahan serta menyelesaikan urusan secara langsung.
Program Yakin MADANI Peringkat Negeri Sembilan diterajui Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, pameran interaktif serta aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung pada program berkenaan.
-- BERNAMA