Am 28/11/2026 06:56 PM

JAKOA, MARA, FELCRA, RISDA Perlu Perkasa Usahawan Orang Asli - Ahmad Zahid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JAKOA, MARA, FELCRA, RISDA Perlu Perkasa Usahawan Orang Asli - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Penjawat Awam Orang Asli (HPPAOA) 2026 di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membantu melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usaha itu penting bagi memperkukuh keupayaan keusahawanan dan pemilikan ekonomi masyarakat berkenaan, termasuk meneroka sektor pelancongan berasaskan komuniti.

“Saya mahu Ketua Pengarah JAKOA Datuk Muhammad Akmal Ila Ahmad.. ini tanggungjawab saudara, saya akan membantu saudara menambah baik usaha yang melibatkan Orang Asli. Seluruh Malaysia terletak di bahu saudara.

“Bekerjalah dengan ikhlas kerana Akmal juga Orang Asli, tanggungjawab Orang Asli di bawah saudara dan saya sebagai menteri akan membantu Akmal dan JAKOA untuk menentukan kejayaan ini. Kita capai dalam kadar waktu yang segera,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Penjawat Awam Orang Asli (HPPAOA) 2026 di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor.

HPPAOA 2026 yang julung kali dianjurkan di peringkat kebangsaan melakar sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai perhimpunan terbesar Penjawat Awam Orang Asli di negara ini. 

Perhimpunan itu menghimpunkan 3,000 penjawat awam Orang Asli daripada pelbagai skim, gred dan perkhidmatan di peringkat Persekutuan serta negeri.

Ahmad Zahid berkata pada 2024, sebanyak 243 usahawan Orang Asli mencatatkan jualan keseluruhan hampir RM1 juta menerusi Karnival Usahawan Desa dan Karnival Usahawan Orang Asli.

“KSU (Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Suriani Ahmad), saya mahu tahun hadapan jumlah jualan produk Orang Asli wajib dipertingkatkan sekurang-kurangnya RM5 juta,” katanya.

Ahmad Zahid berkata program Gate to Global di bawah MARA turut memberi pendedahan kepada produk Orang Asli untuk memasuki pasaran antarabangsa, selain JAKOA, MARA, FELCRA dan RISDA perlu membantu usahawan mengembangkan perniagaan serta memiliki aset.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kepentingan tanah dan penempatan masyarakat Orang Asli perlu diberikan perhatian manakala adat serta warisan mereka terus dipelihara melalui kerjasama dengan kerajaan negeri dan libat urus bersama masyarakat setempat.

Beliau berkata pindaan Akta Orang Asli 1954 perlu diperhalusi bagi memastikan hak dan kepentingan masyarakat itu terus terpelihara.

“Kita mesti bersatu hati untuk bersama-sama memperjuangkan agar pindaan Akta Orang Asli yang baharu ini dilaksanakan dengan sepenuhnya,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan masyarakat Orang Asli supaya tidak membiarkan perbezaan pegangan politik dan ideologi menjejaskan usaha memperjuangkan pindaan akta berkenaan.

“Dalam perkara ini, jangan berpecah sesama sendiri. Walaupun mungkin ada dalam kalangan kita yang berbeza pegangan politik, berbeza ideologi, dalam soal Akta Orang Asli ini jangan berbeza pendapat,” katanya.

Pada Ogos lepas, Ahmad Zahid dilaporkan berkata pindaan Akta Orang Asli 1954 diharap dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada hujung tahun ini bagi memastikan undang-undang berkenaan lebih relevan dengan keperluan semasa masyarakat Orang Asli.

-- BERNAMA