Am 27/11/2026 04:46 PM

Masjid Warisan Perlu Jadi Lambang Tradisi, Budaya Dan Identiti Negara - Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Masjid Warisan Perlu Jadi Lambang Tradisi, Budaya Dan Identiti Negara - Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) melihat model tapak pembinaan pada Majlis Peluncuran Projek Masjid Warisan di Jalan Davis, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) – Masjid Warisan yang bakal dibangunkan di Jalan Davis di sini, perlu menjadi lambang kemegahan bersama dengan menggabungkan warisan Islam, budaya Melayu dan identiti Malaysia menerusi seni bina yang selari dengan pembangunan moden.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembinaan masjid itu bukan sekadar menyediakan sebuah infrastruktur keagamaan, sebaliknya perlu mencerminkan keunikan warisan dan budaya di tengah-tengah pembangunan pesat ibu negara yang turut menampilkan teknologi serta seni bina moden.

“Jadi kita bawa warisan Islam dan Melayu serta warisan Malaysia dengan teknologi moden. Kita nak masjid ini hebat tetapi ada budaya pengisiannya,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Masjid Warisan di Jalan Davis hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Anwar berkata pembangunan masjid itu perlu mengambil kira elemen seni bina yang mengekalkan keindahan warisan selain menerapkan teknologi baharu, kelestarian alam sekitar dan konsep pembangunan bersesuaian dengan persekitarannya.

“Jadi mudah-mudahan saudara-saudara terutama anak-anak bangga apabila melihat reka bentuk dan seni bina bangunan ini.

“Maknanya anak-anak itu tahu tentang teknologi baharu, persekitaran, ekologi serta konsep hijau dan pada masa sama turut mengenali warisan mereka,” katanya.

Anwar turut mencadangkan agar kawasan masjid dilengkapi elemen takungan air yang boleh dijadikan tasik landskap, mengambil kira risiko banjir yang turut dihadapi Kuala Lumpur selain menambah nilai estetika kawasan berkenaan.

Beliau mencadangkan agar struktur bangunan masjid ditingkatkan sedikit bagi memastikan kekal menonjol sebagai mercu tanda memandangkan lokasinya dikelilingi bangunan pencakar langit di kawasan Tun Razak Exchange (TRX).

“Saya mahu menjadikan Masjid Warisan ini masjid yang hebat di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Perdana Menteri berharap masjid itu bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu ibu negara, malah menampilkan identiti warisan Islam, Melayu dan Malaysia yang dapat dibanggakan generasi muda, sekali gus memperlihatkan keserasian antara kemajuan teknologi dengan pemeliharaan budaya dan sejarah.

Projek pembinaan masjid berkenaan yang melibatkan tapak seluas 4.6 ekar di Jalan Davis di sini menerima peruntukan sebanyak RM4.1 juta bagi kerja awalan yang diluluskan di bawah Rolling Plan 2 Tahun 2027, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Projek itu dilaksanakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Kulliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerusi Pertandingan Reka Bentuk Pelajar MAIWP-KAED UIAM yang melibatkan penyertaan 70 mahasiswa.

-- BERNAMA