JOHOR BAHRU, 28 Nov (Bernama) -- Program Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) dianjurkan bagi mempererat hubungan antara anggota tentera dengan rakyat, di samping menyemai semangat patriotisme serta meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai bentuk baharu ancaman keselamatan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata menerusi program itu, masyarakat berpeluang mengenali dengan lebih dekat peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus memupuk kesedaran dan semangat cinta akan negara sebagai asas kekuatan pertahanan nasional.
Beliau berkata pendedahan itu penting kerana rakyat turut berada di barisan hadapan dalam mendepani ancaman tidak konvensional, termasuk perang siber, peperangan hibrid dan serangan yang mempengaruhi pemikiran, berikutan penggunaan meluas peranti seperti telefon pintar.
"Kita mahu wujudkan hubungan rapat antara tentera dan awam, membangunkan nilai-nilai yang sepatutnya ada pada rakyat dan sedarkan rakyat akan ancaman berbentuk baharu pada hari ini yang lain daripada tradisional, jadi rakyat mesti bersedia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan dan melancarkan Karnival CIMIC Johor 2026 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor mewakili Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF) Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.
Karnival tiga hari yang bermula semalam itu, merupakan siri kedua penganjuran pada tahun ini, selepas siri pertama diadakan bersama Kerajaan Negeri Melaka pada Ogos lepas.
Berdasarkan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat (WoGoS), program itu menyokong konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), sekali gus memupuk kefahaman bahawa mempertahankan kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama.
Penganjurannya melibatkan penyertaan aktif warga MINDEF, ATM, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat, khususnya penduduk Pasir Gudang.
Antara pengisian utama karnival ialah demonstrasi ketenteraan seperti terjun bebas, Commando Storm, Guns in Action, Army Red Warrior, Kawad Senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain demonstrasi anjing perang dan lintas hormat udara pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Karnival berkenaan turut mempamerkan kenderaan berperisai, sistem persenjataan, simulator penerbangan TUDM, Survival Village dan pameran keselamatan pasukan khas.
Reruai pengambilan anggota ATM juga dibuka untuk memberi pendedahan kerjaya pertahanan kepada golongan belia.
-- BERNAMA