KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Struktur utama menara sementara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) di Ranau selesai didirikan pada 1.45 tengah hari tadi, menurut Sabah Electricity.
Syarikat utiliti itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan teknikal kini melaksanakan fasa seterusnya melibatkan pemasangan lengan silang menara serta komponen sokongan, sebelum kerja pemasangan kabel penghantaran dijalankan.
"Perkembangan ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memulihkan laluan penghantaran elektrik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah," menurut kenyataan itu.
Syarikat itu menyatakan keselamatan anggota kerja kekal menjadi keutamaan pada setiap peringkat pelaksanaan dalam usaha mempercepatkan pemulihan bekalan elektrik.
Sementara itu, pasukan Grid System Operator (GSO) Sabah terus mengurus dan memantau kestabilan sistem bekalan elektrik sepanjang 24 jam di pusat kawalan syarikat itu di sini.
“Susulan insiden menara penghantaran T313, pasukan GSO mengimbangi kapasiti penjanaan elektrik yang terhad dengan permintaan pengguna di Pantai Timur Sabah,” menurut kenyataan itu.
Sabah Electricity memaklumkan pemantauan berterusan, ketepatan membuat keputusan serta kecekapan pengurusan sistem memastikan kapasiti penjanaan yang tersedia dapat dimanfaatkan secara optimum tanpa menjejaskan kestabilan sistem.
Syarikat itu merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan GSO atas dedikasi, profesionalisme dan komitmen dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan.
Menara penghantaran elektrik T313 terletak di tebing Sungai Liwagu, Kampung Sagindai Lama, Jalan Ranau-Telupid tumbang berpunca daripada hakisan tapak asas akibat hujan berterusan dan arus deras banjir Sungai Liwagu.
Kejadian itu menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar. Sabah Electricity menyasarkan memulihkan bekalan elektrik itu pada 2 Dis ini atau lebih awal.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-8525427.
-- BERNAMA