Am 28/11/2026 06:11 PM

Teal Asia Giat Usaha Perkasa Inisiatif Banteras Kanser Serviks

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Teal Asia Giat Usaha Perkasa Inisiatif Banteras Kanser Serviks

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Teal Asia sebuah gerakan yang diterajui bekas pesakit kanser kini giat memperkasakan inisiatif membanteras kanser serviks menerusi peningkatan kesedaran mengenai saringan, sokongan kepada pesakit dan penglibatan komuniti.

Menerusi beberapa siri inisiatif yang diadakan dari 10 hingga 17 Nov bersempena dengan World Cervical Cancer Elimination Day, Persatuan Kebajikan & Advokasi Kesihatan Serviks Teal atau lebih dikenali sebagai Teal Asia menghimpunkan golongan profesional kesihatan, bekas pesakit kanser, pejuang advokasi, rakan korporat dan komuniti.

Ditubuhkan oleh bekas pesakit kanser serviks, Selina Yeop Jr. dan didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah pertubuhan pada Jun tahun ini, Teal Asia menumpukan usaha meningkatkan akses saringan, pendidikan awam serta sokongan kepada pesakit dan keluarga mereka.

Inisiatif itu selaras dengan sasaran 90-70-90 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelang 2030, yang bertujuan memastikan 90 peratus kanak-kanak perempuan menerima vaksinasi lengkap bagi mencegah jangkitan virus papiloma manusia (HPV) sebelum berusia 15 tahun, sebanyak 70 peratus wanita menjalani saringan pada usia 35 tahun, dan sekali lagi pada usia 45 tahun, manakala 90 peratus wanita yang didiagnosis menghidap penyakit itu menerima rawatan sewajarnya.

Teal Asia turut mengumumkan pelaksanaan projek rintis TealHEMI, iaitu inisiatif yang disediakan dalam pelbagai bahasa berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk menyalurkan maklumat, panduan dan sokongan kepada pesakit kanser serta keluarga mereka. 

Selina berkata inisiatif itu bertujuan membantu pesakit dan insan tersayang mendapatkan maklumat yang lebih jelas serta sokongan sewajarnya. 

“Diagnosis kanser bukan sahaja memberikan kesan kepada pesakit, malah keluarga mereka. Menerusi inisiatif seperti TealHEMI, kami berharap dapat membantu individu dan keluarga mendapatkan maklumat lebih jelas, mengeratkan hubungan serta memberikan keyakinan bahawa mereka tidak bersendirian dalam mengharungi dugaan,” katanya.

Pengumuman itu dibuat pada majlis makan malam amal Teal Asia pada 10 Nov, yang dianjurkan khusus bagi menyokong Program ROSE, sebuah inisiatif untuk meningkatkan akses kepada saringan kanser serviks.

Majlis itu turut menampilkan acara lelongan amal, persembahan artis Natascha Skye dan Ning Baizura, selain pertunjukan fesyen oleh Romyda_KL yang dipersembahkan dengan kerjasama jenama detergen pakaian Daia.

Pada 14 Nov, program Teal Asia-Peak Fitness Rally for Lives menyampaikan mesej kesedaran mengenai kanser serviks menerusi aktiviti kecergasan komuniti, sekali gus menggalakkan peserta menjadikan pencegahan sebagai sebahagian daripada rutin harian.

Sepanjang program itu, Neu Clinic, Prince Court Medical Centre dan Curie Oncology menawarkan perkhidmatan berkaitan kesihatan secara percuma, manakala Program ROSE memberikan penerangan mengenai HPV dan pencegahan kanser serviks.

Teal Asia turut menaja ujian pensampelan kendiri HPV untuk 20 peserta pertama yang layak dan mendaftar menyertai program berkenaan.

Bersempena dengan World Cervical Cancer Elimination Day pada 17 Nov, Teal Asia dengan kerjasama Curie Oncology menganjurkan forum bertajuk “Men Matter Too”, yang mengetengahkan peranan lelaki dalam pencegahan kanser serviks serta bagaimana untuk membantu pesakit.

Forum itu menampilkan pakar bedah Cengild upper gastrointestinal, Dr Ramesh Gurunathan; pakar kesihatan pankreas dan gastroenterologi Cengild Dato’ Dr Tan Huck Joo; pakar urologi Gleneagles Kuala Lumpur Dr Kenneth Koh; serta cef Malaysia Datuk (Dr) Chef Wan.

Pakar onkologi perubatan Curie Oncology Dr Yeoh Chit Cheng bertindak selaku moderator.

Panel forum menyeru golongan lelaki memainkan peranan dalam memastikan ahli keluarga wanita menjalani saringan kanser serviks, menggalakkan vaksinasi HPV, membendung stigma serta meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan wanita di tempat kerja dan dalam komuniti.

“Membanteras kanser serviks bukan sekadar isu wanita, sebaliknya tanggungjawab bersama,” kata Selina.

Menurut Teal Asia, pelbagai inisiatif itu menekankan kepentingan kerjasama antara sektor kesihatan, korporat dan komuniti dalam mempergiat usaha pencegahan kanser serviks serta advokasi pesakit.

Persatuan itu merakamkan penghargaan atas sokongan para penderma dan rakan kerjasamanya, termasuk Daia, Gravity Ventures, Neu Clinic, SecIron, Watsons, Respack-Activ, The Sira, Dani Hill, Muse Jewels, Prince Court Medical Centre, Peak Fitness dan Beyonary.

Teal Asia menggesa wanita dalam kumpulan sasaran mendapatkan nasihat daripada petugas kesihatan mengenai saringan kanser serviks, menggalakkan keluarga mendapatkan maklumat lanjut mengenai vaksin HPV, serta menyeru orang ramai dan organisasi menyokong usaha pencegahan kanser dan kebajikan pesakit.

Teal Asia ialah persatuan yang menawarkan sokongan kepada pesakit yang pertama seumpamnya di Malaysia, memberikan tumpuan kepada advokasi kesihatan serviks, pendidikan masyarakat dan usaha memperkasakan pesakit.

-- BERNAMA