Am 28/11/2026 05:31 PM

3,000 Pas MyKomuter50 Percuma Sempena Program Yakin MADANI Di Seremban

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
3,000 Pas MyKomuter50 Percuma Sempena Program Yakin MADANI Di Seremban

SEREMBAN, 28 Nov (Bernama) -- Sebanyak 3,000 pas MyKomuter50 bernilai RM50 ditawarkan secara percuma kepada pengunjung program Yakin MADANI yang berlangsung selama dua hari di Kompleks Belia dan Sukan di sini bermula hari ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu membolehkan penerima menikmati perjalanan tanpa had selama 30 hari bagi perkhidmatan tren terpilih, sekali gus membantu mengurangkan kos pengangkutan harian rakyat.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan mendapat sokongan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) menerusi sumbangan 3,000 kad perjalanan tanpa had itu.

"Bagi memudahkan urusan pengunjung, KTMB menyediakan tiga kaunter pengaktifan pas di lokasi program untuk membolehkan penerima mengaktifkan kad masing-masing.

"Bagaimanapun, penerima yang tidak berkesempatan mengaktifkan pas sepanjang program berlangsung boleh berbuat demikian di 34 stesen terpilih mulai 28 Nov hingga 6 Dis ini. Penerima perlu membawa kad pengenalan dan kad Komuter Link Khas yang diberikan bagi melancarkan proses pengaktifan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Pas MyKomuter50 itu ditawarkan bagi tiga jenis perkhidmatan, iaitu KTM Komuter Lembah Klang, KTM Komuter Utara dan Shuttle Selatan, dengan pengguna boleh memilih satu sektor sahaja untuk menikmati kemudahan berkenaan dan terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur tujuh tahun ke atas, kecuali pemegang Pas MyRailLife.

KTMB turut menggalakkan orang ramai mengunjungi Program Yakin MADANI bagi mendapatkan pas berkenaan serta memastikan pengaktifan dilakukan dalam tempoh ditetapkan supaya dapat menikmati manfaat tawaran itu.

-- BERNAMA