Am 26/11/2026 12:52 PM

FELDA: 11,094 Permohonan Lot Kediaman Generasi Kedua Diluluskan, 27,642 Hak Milik Tanah Selesai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
FELDA: 11,094 Permohonan Lot Kediaman Generasi Kedua Diluluskan, 27,642 Hak Milik Tanah Selesai
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Md. Israk Abdullah

ISKANDAR PUTERI, 26 Nov -- Kerajaan Negeri Johor berjaya menyelesaikan dan meluluskan sebanyak 11,094 permohonan lot kediaman generasi kedua FELDA di Johor setakat ini, selain komited untuk menyelesaikan keseluruhan baki 1,729 permohonan semasa menerusi Belanjawan Johor 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Md Israk Abdullah berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, pengurusan FELDA serta jabatan dan agensi berkaitan menerusi platform Sekretariat Muafakat FELDA Johor.

"Usaha penyelesaian baki 1,729 permohonan lot kediaman generasi FELDA akan terus diberikan keutamaan. Bagi merealisasikan komitmen ini, kerajaan negeri akan terus memperkukuh penyelarasan bersama pengurusan FELDA, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor serta Pejabat Tanah Daerah bagi menangani isu berbangkit dan mempercepat proses penyelesaiannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Anuar Abd. Manap (BN-Penawar) berhubung status terkini penyelesaian lot kediaman generasi kedua FELDA pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup itu juga berkata hasil kerjasama erat melalui platform penyelarasan sama, kesemua 27,642 hak milik tanah peneroka asal di 73 rancangan FELDA di seluruh negeri juga telah berjaya memperoleh geran hak milik.

Mengenai penyediaan kemudahan asas, beliau memaklumkan kerajaan negeri dan FELDA telah memperuntukkan sebanyak RM18 juta bagi pembangunan infrastruktur asas melibatkan 424 tapak kediaman generasi FELDA di tiga rancangan iaitu FELDA Ayer Hitam, FELDA Bukit Easter dan FELDA Kemelah.

Sementara itu, ADUN Semerah Mohd Fared Mohd Khalid ketika menjawab soalan (PH-Bentayan) Ng Yak Howe mengenai industri halal berkata Johor merekodkan 1,298 permohonan baharu Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melibatkan usahawan dan syarikat setakat 11 Nov lepas, yang antara disumbang menerusi Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor (PKHNJ) 2030.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri berkata 77.6 peratus yang memohon merupakan usahawan Bumiputera, sekali gus menunjukkan petanda baik bahawa industri berkenaan semakin diyakini untuk diceburi.

“Kerajaan negeri sedar bahawa perjalanan ini masih jauh, dengan 1,298 syarikat baharu setakat ini, usaha perlu terus dipergiat. Sehubugan dengan itu, kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada esmua agensi, rakan industri dan para usahawan yang bersama menggerakkan agenda (PKHNJ),” katanya. 

Mohd Fared (BN-Semerah) berkata akan terus mempergiat usaha menarik pelaburan dalam industri halal berdasarkan rekod pencapaian RM790.91 juta setakat Jun lepas yang melibatkan 27 projek.

-- BERNAMA