Dunia 23/11/2026 11:27 PM

Beaver Supermoon Bakal Terangi Langit Malam 24 Nov

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Beaver Supermoon Bakal Terangi Langit Malam 24 Nov
Gambar untuk tujuan ilustrasi sahaja. (Gambar janaan AI)

ASTANA, 23 Nov (Bernama-Qazinform) -- Peminat astronomi berpeluang menyaksikan fenomena pertama daripada tiga bulan penuh super berturut-turut pada Selasa (24 Nov), apabila Beaver Supermoon muncul berhampiran gugusan bintang Pleiades, lapor Agensi Berita Qazinform.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), bulan penuh pada November itu akan menandakan permulaan siri tiga bulan penuh super yang berlanjutan hingga Januari 2027.

Beaver Supermoon dijangka mencapai kemuncaknya pada 2.53 petang Waktu Universal Selaras (UTC) atau 10.53 malam waktu Malaysia pada 24 Nov.

Fenomena bulan penuh super berlaku apabila fasa bulan penuh bertepatan dengan kedudukan Bulan yang paling hampir dengan Bumi dalam orbit elipsnya.

Keadaan itu menyebabkan cakera Bulan kelihatan sedikit lebih besar dan terang berbanding bulan penuh biasa.

NASA menjelaskan bahawa bulan penuh super boleh kelihatan sehingga 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang berbanding bulan penuh paling malap dalam setahun.

Bulan penuh pada November secara tradisinya dikenali sebagai Beaver Moon, nama yang dikaitkan dengan musim ketika haiwan beaver membuat persediaan menghadapi musim sejuk dengan membina dan mengukuhkan sarang serta menyimpan makanan.

Beaver Supermoon tahun ini juga akan melintasi kawasan berhampiran Pleiades, iaitu gugusan bintang dalam buruj Taurus yang lazim dikenali sebagai Seven Sisters.

Kedudukan kedua-duanya yang kelihatan berdekatan akan menghasilkan pemandangan luar biasa di langit.

Bagaimanapun, kecerahan Bulan mungkin menyukarkan bintang individu dalam gugusan itu dibezakan dengan mata kasar.

Fenomena berkenaan boleh disaksikan dari Kazakhstan sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

Ahli astronomi mengesyorkan orang ramai memerhatikan Bulan sejurus selepas ia terbit, ketika kedudukannya kelihatan berhampiran ufuk.

Fenomena pada November itu akan disusuli satu lagi bulan penuh super pada 24 Dis, yang dijangka menjadi bulan penuh super terbesar pada 2026.

Fenomena ketiga pula akan berlaku pada 22 Jan 2027.

-- BERNAMA-QAZINFORM