KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan pelantikan syarikat Handal Indah Sdn Bhd (HISB) sebagai pengendali rangkaian perkhidmatan bas berhenti-henti (SBST) Johor Bahru bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2031 dengan kos keseluruhan RM665 juta.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) disempurnakan oleh Ketua Setiausaha MOT Datuk Seri M. Jana Santhiran kepada wakil syarikat itu.
“Pelantikan pengendali berpengalaman itu amat penting bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan pengangkutan awam yang mampan dan cekap.
“Langkah strategik ini turut dirangka khusus bagi menyokong keperluan kesalinghubungan aliran trafik apabila projek Rapid Transit System (RTS) Link beroperasi di samping mempercepat agenda peralihan kepada pengangkutan awam rendah karbon,” menurut kenyataan itu.
APAD memaklumkan menerusi inisiatif Kerajaan Persekutuan itu, rakyat Johor bakal menikmati pelbagai penambahbaikan kemudahan dan perkhidmatan berimpak tinggi, antaranya pertambahan jumlah bas secara berfasa daripada 162 kepada 235 bas, iaitu peningkatan sebanyak 45 peratus.
Ini termasuk penyediaan 102 bas elektrik daripada lapan bas elektrik pada masa ini bagi menyokong kelestarian alam sekitar dan meningkatkan keselesaan perjalanan penumpang.
Jumlah trip juga ditambah secara berfasa bagi laluan utama yang melibatkan penambahan kapasiti penumpang keseluruhan rangkaian sebanyak 24 peratus selain jaringan laluan bas disusun semula daripada 21 kepada 23 laluan bagi mengurangkan masa perjalanan serta memperluas liputan kawasan.
APAD memaklumkan kekerapan bas di laluan utama akan dipendekkan dari 20 hingga 30 minit kepada hanya 15 hingga 20 minit serta pengenalan perkhidmatan RTS Shuttle, perkhidmatan pengantara fleksibel Demand Responsive Transit (DRT) dan pelaksanaan kerja menaik taraf kemudahan di JB Sentral.
Inisiatif tambang mampu milik melalui penawaran Kad 30 Hari BAS.MY berharga RM30 bagi perjalanan tanpa had untuk warganegara Malaysia turut disediakan manakala pelajar sekolah, mahasiswa, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) kekal menikmati tambang percuma menerusi Kad Konsesi BAS.MY.
APAD memaklumkan agensi itu dan MOT akan terus memantau rapi prestasi pelaksanaan pengendali bagi memastikan setiap piawaian perkhidmatan dipenuhi demi kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA