Dunia 21/11/2026 04:55 PM

Marrybrown Malaysia Kembang Sayap Ke Kemboja, Wujud Peluang Pekerjaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Marrybrown Malaysia Kembang Sayap Ke Kemboja, Wujud Peluang Pekerjaan

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 21 Nov (Bernama) -- Rangkaian restoran makanan segera tempatan Malaysia, Marrybrown membuka cawangan pertamanya di Kemboja dengan matlamat menawarkan makanan pada harga berpatutan, di samping menyokong produk tempatan.

Pembukaan cawangan baharu di ibu negara Kemboja itu menambah rangkaian lebih 500 restorannya di hampir 16 negara sejak membuka cawangan pertama di Johor Bahru pada 1981.

"Strategi syarikat kami adalah untuk mencari sesuatu yang mampan dan dapat menyokong ekonomi negara.

"Kami menyasarkan untuk menawarkan produk berkualiti pada harga berpatutan kepada semua pelanggan," kata pemegang francais induk Marrybrown bagi Kemboja, Teh Chui Hoon kepada Bernama pada majlis prapelancaran cawangan itu pada Sabtu.

Cawangan baharu yang terletak di Boeung Kak, daerah Toul Kork di Phnom Penh itu menawarkan ayam goreng rangup dan burger yang menjadi hidangan istimewa Marrybrown, selain nasi ayam, nasi goreng dan bubur ayam yang ditambah dalam menu bagi memenuhi cita rasa masyarakat Kemboja.

"Kami mewujudkan suasana mesra keluarga. Sebanyak 70 peratus produk diperoleh daripada pembekal tempatan dan pembekal halal. Ketika ini, kami mempunyai 20 pekerja tempatan," katanya.

Kira-kira 30 peratus bahan yang digunakan merupakan produk eksklusif Marrybrown.

Meskipun pertumbuhan ekonomi Kemboja lebih perlahan tahun ini, perbelanjaan pengguna semakin lemah dan pasaran makanan segera dikuasai jenama global, Teh yakin rangkaian itu mampu bersaing di pasaran tempatan.

"Walaupun dalam keadaan tidak menentu, peluang sentiasa ada. Makanan segera mahal dan tidak mudah diakses oleh semua pengguna. Oleh itu, kami berhasrat menawarkan makanan pada harga lebih rendah kepada semua orang, di samping memastikan kualiti dan rasa yang konsisten.

"Kemboja mempunyai populasi golongan muda yang besar dan generasi muda sentiasa mencari sesuatu yang baharu," kata Teh.

-- BERNAMA