SHAH ALAM, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM3.5 juta bagi inisiatif adat Melayu dan warisan termasuk kerja-kerja naik taraf muzium serta pemuliharaan bangunan warisan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu meliputi penambahbaikan Muzium Sultan Alam Shah dan kerja konservasi serta pembangunan pengisian bangunan bersejarah di Bukit Malawati, Kuala Selangor.
Beliau berkata usaha itu bertujuan memastikan warisan negeri terus terpelihara serta dimanfaatkan untuk pendidikan, penyelidikan dan pelancongan.
“Antara projek utama pembangunan prasarana warisan ialah Muzium Setem Negeri Selangor, yang diilhamkan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2015.
“Sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan pada 2027 daripada kos keseluruhan projek RM7.4 juta bagi melaksanakan kerja hiasan dalaman muzium,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata Muzium Setem Negeri Selangor bakal mengetengahkan koleksi filateli sebagai medium memahami sejarah dan perkembangan negeri selain menjadi tarikan pelancongan baharu serta memperluas pendidikan tidak formal.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan pembangunan Muzium Tekstil Negeri Selangor di Bangunan Anggerik, Seksyen 14 di sini, yang terletak bersebelahan Muzium Sultan Alam Shah.
Menteri Besar Selangor itu berkata projek naik taraf bangunan enam tingkat berkenaan menelan kos keseluruhan RM60 juta, dengan RM3 juta diperuntukkan pada 2027 bagi kerja awalan.
“Muzium ini bakal menjadi pusat rujukan khusus tekstil warisan Selangor sekali gus memperkukuh penyelidikan, pendidikan dan pemeliharaan khazanah tekstil serta pelancongan budaya negeri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri akan memberi penghargaan khas secara sekali bayar masing-masing sebanyak RM30,000 kepada tiga Sasterawan Negara kelahiran Selangor pada tahun hadapan, iaitu Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Profesor Emeritus Datuk Dr Siti Zainon Ismail.
“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha meninggikan martabat kesusasteraan menerusi pengiktirafan kepada tokoh dan penglibatan generasi baharu.
“Inisiatif ini menzahirkan komitmen kerajaan negeri dalam mendukung usaha berterusan tokoh sastera untuk memartabatkan kesusasteraan, memperkaya khazanah persuratan dan membimbing generasi penulis baharu khususnya di Selangor,” katanya.
Selain itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan memperkenal Geran Kebudayaan Negeri Selangor dengan peruntukan permulaan RM1 juta bagi memperluas sokongan kepada penggiat seni dan kebudayaan.
Beliau berkata geran itu menyediakan pembiayaan kepada badan bukan kerajaan, persatuan kebudayaan dan penggiat seni yang layak untuk melaksanakan program pemeliharaan warisan, pembangunan bakat serta projek kebudayaan berasaskan komuniti sekali gus memperkukuh ekosistem kebudayaan dan warisan negeri.
-- BERNAMA