Am 13/11/2026 08:18 PM

29 Kanak-kanak Kurang Bernasib Baik Nikmati Tayangan Filem Sempena Deepavali

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
29 Kanak-kanak Kurang Bernasib Baik Nikmati Tayangan Filem Sempena Deepavali
Foto: PCSH

IPOH, 13 Nov (Bernama) -- Sebanyak 29 kanak-kanak kurang bernasib baik dari dua rumah kebajikan tempatan di sini diberi peluang menyaksikan tayangan filem khas anjuran Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) sempena sambutan Deepavali hari ini, sekali gus menjadikan perayaan itu lebih bermakna buat mereka.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Perak dan BTS R Partners Zurich itu adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertama hospital berkenaan sempena Deepavali yang bertemakan Spreading Joy and Light Through Sharing and Caring di GSC Play, AEON BIG Falim di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PCSH Nicholas Chan berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen hospital komuniti bukan berasaskan keuntungan berkenaan untuk memberikan perhatian dan keceriaan sempena perayaan kepada masyarakat, melangkaui penyediaan rawatan perubatan.

“Deepavali mengingatkan kita bahawa kegembiraan menyambut sesuatu perayaan menjadi lebih bermakna apabila dikongsi bersama orang lain. Bagi kanak-kanak ini, kunjungan singkat ke pawagam boleh menjadi pengalaman yang menyeronokkan.

“Kami berharap program ini dapat menceriakan mereka, mencipta kenangan indah serta mengingatkan mereka bahawa kewujudan dan kebajikan mereka dihargai serta diberi perhatian oleh masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Program itu menghimpunkan 18 kanak-kanak dari Rainbow Children's Home dan 11 kanak-kanak dari The Salvation Army Ipoh Children's Home, dengan diiringi tiga penjaga untuk menyaksikan tayangan filem animasi The Cat in the Hat serta menikmati makanan ringan, minuman dan beg cenderamata.

Turut hadir wakil Ahli Lembaga Pengarah PCSH K.A. Silvanathan dan Tham Chee Phing, wakil Ahli Lembaga Pelawat Shanker Retinam serta wakil BTS R Partners Zurich dan Pengerusi MMA Cawangan Perak Dr Monesh Pillai.

Chan berkata pihak hospital berharap program itu menjadi inspirasi kepada lebih banyak organisasi dan individu untuk menghayati semangat memberi serta menyokong kesejahteraan kanak-kanak kurang bernasib baik sepanjang tahun.

“Adakalanya, usaha membawa perubahan tidak memerlukan tindakan besar. Perbuatan baik yang kecil sekalipun mampu membawa kegembiraan dalam kehidupan orang lain. Kami berharap lebih banyak peluang dapat diwujudkan untuk masyarakat bersama-sama berganding bahu dan menyemarakkan semangat keprihatinan ini,” katanya.

Selain melaksanakan inisiatif CSR sempena musim perayaan, PCSH turut meneruskan bantuan kepada kanak-kanak daripada keluarga kumpulan B40 dan M40 serta rakyat Malaysia daripada semua peringkat umur yang berdepan kekangan kewangan untuk menampung kos rawatan perubatan menerusi Tabung Kebajikan PCSH, tertakluk kepada penilaian kelayakan dan kelulusan.

Berpegang kepada falsafah From the Community, For the Community, With the Community, PCSH kekal komited terhadap misinya untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti pada kos berpatutan, di samping memupuk masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif.

Hospital itu juga terus memperkukuh penjagaan kesihatan masyarakat menerusi kerjasama strategik, termasuk kerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk menyediakan 100 pemeriksaan mamogram percuma kepada wanita daripada kumpulan B40 yang layak, sekali gus menyokong pengesanan awal kanser payudara dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan pencegahan.

-- BERNAMA