BANGKOK, 13 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri China Li Qiang tiba di Thailand pada Jumaat untuk lawatan rasmi selama tiga hari, lawatan pertama oleh perdana menteri China sejak 2019.
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow, menyambut ketibaan Li di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Jabatan Perhubungan Awam (PRD) kerajaan Thailand memaklumkan bahawa lawatan dari 13 hingga 15 Nov itu bertujuan memperkukuh Perkongsian Kerjasama Strategik Komprehensif antara Thailand dengan China, susulan lawatan Anutin ke China pada Julai tahun ini.
“Kedua-dua pihak dijangka membincangkan kerjasama dalam bidang keselamatan, keselamatan siber dan jenayah dalam talian, perdagangan, pelaburan, kewangan, ekonomi digital serta pelancongan,” menurut jabatan itu dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya pada Jumaat.
PRD memaklumkan bahawa upacara sambutan rasmi untuk Li dijadualkan berlangsung di Rumah Kerajaan pada petang Jumaat.
Beberapa memorandum persefahaman (MoU) juga dijangka dimeterai dalam bidang seperti pertanian, pendidikan vokasional, industri automotif, perlindungan alam sekitar dan keselamatan, menurut PRD.
Agenda lain termasuk usaha menangani perniagaan haram, memperkukuh hubungan antara rakyat dan kebudayaan, menggalakkan pengurusan alam sekitar yang mampan serta meningkatkan kerjasama dalam ASEAN dan kerangka pelbagai hala yang lain.
Lawatan itu dijangka terus mengeratkan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara serta memperkukuh kerjasama bagi menggalakkan kestabilan dan keselamatan serantau serta global.
-- BERNAMA