MELAKA, 13 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) yakin masih berpeluang mencipta kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok dan tidak menganggap ramalan Ilham Centre, yang menjangkakan gabungan itu hanya mampu memenangi dua kerusi, sebagai gambaran muktamad keputusan pilihan raya.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata dapatan kajian beberapa badan penyelidik termasuk Ilham Centre dan Merdeka Centre juga saling bercanggah antara satu sama lain.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu berkata kuasa menentukan keputusan pilihan raya tetap berada di tangan rakyat dan pengundi, bukannya badan penyelidik melalui kajian sentimen semasa.
"Kajian sentimen adalah berdasarkan sentimen semasa merentasi semua platform sama ada kajian secara bersemuka ataupun kajian melalui media sosial… itu adalah pendapatan dan pandangan mereka.
"Jangan sesekali memperlekehkan kehendak serta kebijaksanaan rakyat... kita melalui Muafakat Harapan terus bergerak berbaki hari ini dan memastikan bahawa gerak kerja serta strategi di lapangan dapat terus dijalankan bagi meyakinkan pengundi," katanya kepada pemberita di Kampung Pinang A, Klebang hari ini.
Muhammad Kamil berkata demikian selepas mengadakan pertemuan ringkas dengan sekumpulan pesawah di kampung berkenaan yang turut dihadiri calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang Farzana Hayani Mohd Nasir.
Mengulas lanjut, beliau berkata menjelang detik-detik terakhir kempen hari ini, PH perlu meyakinkan pengundi di Melaka bahawa mereka harus melakukan perubahan pada pilihan raya kali ini bukan untuk kepentingan individu tertentu tetapi demi manfaat dan kemaslahatan penduduk serta rakyat di negeri itu.
Menyentuh mengenai peluang PH memenangi kerusi tumpuan, Muhammad Kamil berkata gabungan itu akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan majoriti mudah, iaitu 15 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.
Beliau turut menyifatkan sambutan sepanjang kempen sebagai positif khususnya dalam kalangan golongan muda termasuk Gen Z selain berpandangan masih ramai pengundi belum membuat keputusan.
"Kita usaha sedaya upaya untuk memastikan dapat mengembalikan sokongan seramai mungkin daripada pengundi di Melaka... insya-Allah, keajaiban boleh berlaku, dalam politik tiada apa yang kekal statik," katanya.
Firma penyelidikan Ilham Centre hari ini melaporkan kerjasama Barisan Nasional dan Perikatan Nasional dijangka mendominasi PRN Melaka dan mengunjurkan gabungan berkenaan mendahului persaingan di 24 daripada 28 kerusi DUN.
Pada PRN Melaka kali ini, PH bertanding di 24 daripada 28 kerusi DUN.
Dapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16 menerusi https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.
-- BERNAMA