KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mempergiat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menangani ancaman penyakit serta serangga perosak yang boleh menjejaskan produktiviti ladang hutan dan daya saing industri perkayuan negara.
FRIM dalam kenyataan memaklumkan usaha itu penting bagi memastikan bekalan bahan mentah berasaskan kayu kekal berkualiti dan mampan, sekali gus menyokong industri perkayuan negara yang mencatatkan nilai eksport RM22.9 bilion pada 2024.
Keperluan memperkukuh aspek kesihatan dan biosekuriti ladang hutan semakin penting memandangkan kawasan ladang hutan di seluruh negara kini menghampiri satu juta hektar.
“Sejarah pembangunan perhutanan komersial negara merekodkan bahawa jangkitan patogen dan serangan serangga yang tidak terkawal mampu melumpuhkan pulangan ekonomi sesebuah ladang hutan,” menurut kenyataan itu.
FRIM memaklumkan kajian oleh penyelidiknya menerusi Program Kesihatan dan Pemuliharaan Hutan mendapati penyakit reput teras, reput akar dan layu Ceratocystis antara ancaman kritikal terhadap ladang Acacia mangium sejak peringkat awal pembangunan spesies berkenaan di Malaysia.
Penyakit reput teras, misalnya, menyebabkan pengusaha terpaksa mengubah tujuan asal penanaman daripada pengeluaran kayu pelbagai guna kepada kayu serpai yang mempunyai nilai lebih rendah.
Sementara itu, penyakit reput akar dan layu Ceratocystis berisiko memusnahkan keseluruhan kawasan ladang sekiranya tidak dikawal pada peringkat awal.
Selain Acacia mangium, FRIM turut memperluas penyelidikan terhadap spesies Eucalyptus yang semakin mendapat perhatian industri kerana kadar pertumbuhannya yang cepat serta potensinya sebagai sumber kayu balak, pulpa dan kertas, selain membantu mengurangkan tekanan pembalakan terhadap hutan asli.
Bagaimanapun, Eucalyptus turut terdedah kepada penyakit kanker batang dan bintik daun, selain serangan serangga perosak seperti pengorek batang dan penggulung daun.
Kajian FRIM di ladang Eucalyptus di Semenanjung Malaysia mendapati kejadian penyakit kanker batang yang disebabkan kulat Chrysoporthe deuterocubensis semakin meningkat, khususnya melibatkan pokok Eucalyptus hibrid berusia lebih tiga tahun.
Selain itu, jangkitan kulat Calonectria illicicola yang menyebabkan penyakit bintik daun turut memerlukan perhatian kerana berupaya merencatkan pertumbuhan pokok, malah mengakibatkan kematian sekiranya jangkitan berlaku secara serius dan berulang.
Sehubungan dengan itu, FRIM melaksanakan pemantauan rapi terhadap penyebaran penyakit berkenaan menggunakan kaedah saintifik dan teknologi analisis terkini bagi mengenal pasti patogen serta merangka langkah intervensi yang berkesan.
Pendekatan pengurusan kesihatan ladang hutan turut diperkukuh menerusi penggunaan teknologi pemantauan udara berasaskan dron dan aplikasi pintar bagi membolehkan pengesanan awal penyakit dilakukan pada skala lebih luas.
FRIM juga memperkukuh kerjasama rentas agensi dalam aspek pematuhan kuarantin dan kawalan biosekuriti bagi mengekang kemasukan spesies asing invasif susulan perubahan iklim global dan perkembangan sistem pengangkutan.
Antara ancaman yang dikenal pasti ialah kulat Uromycladium falcatarium, penyebab penyakit karat puru yang berupaya mengakibatkan kerosakan serius terhadap pokok batai.
Institut itu komited meneruskan R&D dan memperkukuh teknologi kawalan penyakit serta perosak bagi memastikan kesihatan dan produktiviti ladang hutan terpelihara, sekali gus mengekalkan daya saing produk berasaskan kayu negara di pasaran global.
-- BERNAMA