Am 13/11/2026 07:07 PM

Malaysia, Tajikistan Teroka Kerjasama Dalam Sektor Pertanian, Agromakanan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia, Tajikistan Teroka Kerjasama Dalam Sektor Pertanian, Agromakanan
fb Mohamad Sabu

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Tajikistan sedang meneroka potensi kerjasama dalam sektor pertanian dan agromakanan, termasuk perkongsian teknologi serta kepakaran bagi memperkukuh keterjaminan makanan kedua-dua negara.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Duta Republik Tajikistan ke Malaysia Ardasher S. Qodiri kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada Rabu lepas.

"Kedua-dua pihak telah membincangkan cadangan dari Tajikistan untuk mengadakan memorandum persefahaman dalam bidang pertanian antara KPKM dengan Kementerian Pertanian Tajikistan bagi mempertingkat kerjasama dan perdagangan antara kedua-dua negara.

"Perbincangan turut tertumpu kepada peluang perkongsian teknologi dan kepakaran dalam bidang pengairan moden, mekanisasi pertanian serta pembangunan industri ternakan dan tenusu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kedua-dua pihak turut menyentuh mengenai kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran pakar dan logistik pertanian bagi mempertingkat produktiviti serta keterjaminan makanan bagi kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu, nilai dagangan sektor pertanian antara Malaysia dan Tajikistan meningkat kepada RM4.57 juta pada 2025 berbanding RM2.36 juta pada tahun sebelumnya.

KPKM turut memaklumkan pertemuan itu turut membincangkan persediaan bagi lawatan rasmi Presiden Tajikistan Emomali Rahmon ke Malaysia yang dijadualkan pada 10 hingga 12 Dis ini.

-- BERNAMA