Am 13/11/2026 07:26 PM

Mahkamah Rayuan Kekalkan Kewarganegaraan Untuk Wanita Diabaikan Selepas Dilahirkan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mahkamah Rayuan Kekalkan Kewarganegaraan Untuk Wanita Diabaikan Selepas Dilahirkan

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan bahawa seorang suri rumah, yang ditinggalkan sejurus selepas dilahirkan sebelum diambil sebagai anak angkat, merupakan warganegara Malaysia.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril berkata wanita berusia 37 tahun itu telah memenuhi syarat pembuktian bagi mengesahkan bahawa beliau sememangnya seorang bayi yang ditinggalkan.

Beliau berkata tiada bukti dikemukakan di mahkamah yang menunjukkan bahawa ibu kandung wanita itu bukan pemastautin tetap di Persekutuan atau di tempat bayi itu ditemui.

“Kami mendapati tiada asas untuk mengubah dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa responden merupakan seorang bayi yang ditinggalkan, seperti mengikut pengertian Seksyen 19B, Bahagian III, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Seksyen 19B Bahagian III menyatakan bahawa seorang bayi yang baru lahir yang ditemui dalam keadaan ditinggalkan atau dibiarkan di sesuatu tempat, dianggap telah dilahirkan di tempat itu daripada seorang ibu yang merupakan pemastautin tetap di tempat berkenaan. 

Mohd Firuz berkata wanita tersebut telah memenuhi syarat-syarat di bawah Perkara 14(1)(b) yang dibaca bersama Seksyen 1(a) Bahagian II dan Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, kami berpuas hati bahawa responden merupakan warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang,” katanya yang bersidang bersama Datuk Ismail Brahim dan Datuk Dean Wayne Daly.

Semasa menolak rayuan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Menteri Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia, beliau berkata Mahkamah Tinggi telah menilai keterangan dengan tepat dan menerapkan prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes “CCH & Anor lawan Pendaftar Besar bagi Kelahiran dan Kematian, Malaysia”. Kes itu mewujudkan pendekatan dalam mentafsirkan Seksyen 19B.

Mahkamah memerintahkan pihak perayu membayar kos sebanyak RM10,000.

Wanita berkenaan ditemui dalam keadaan diabaikan sejurus selepas dilahirkan pada Mei 1989 di Kepong, Kuala Lumpur dan dibesarkan oleh ibu bapa angkat.

Susulan pendaftaran pengambilan responden sebagai anak angkat pada 2009, JPN mengeluarkan sijil kelahiran yang mencatatkan bapa angkatnya sebagai bapa namun status kewarganegaraannya direkodkan sebagai “Belum Ditentukan”.

Mahkamah Rayuan menjelaskan bahawa menurut prinsip undang-undang yang telah mantap, seseorang tidak boleh memperoleh hak kewarganegaraan semata-mata melalui ibu bapa angkat yang sah, sebaliknya, hak wanita tersebut timbul daripada anggapan perlembagaan yang terpakai bagi bayi baru lahir yang ditinggalkan.

Peguam Kanan Persekutuan Norazlinawati Mohd Arshad dan Peguam Persekutuan Jicent Yee Xin Sheng mewakili pihak kerajaan manakala peguam M. Yogamani dan M. Shahgambahri mewakili wanita tersebut.

-- BERNAMA