Politik 13/11/2026 08:31 PM

Jangan Main Sentimen Agama Raih Sokongan, Kenyataan Abdul Hadi Jejas Perpaduan - PKR

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jangan Main Sentimen Agama Raih Sokongan, Kenyataan Abdul Hadi Jejas Perpaduan - PKR
Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Perbezaan politik sepatutnya berasaskan perbahasan dasar dan penyelesaian masalah rakyat bukannya memainkan sentimen agama demi meraih sokongan, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Chang Lih Kang.

Beliau menyifatkan kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa sejahat-jahat orang Islam tidak sezalim orang bukan Islam sebagai amat mendukacitakan, sambil menegaskan kenyataan yang menyakitkan hati dan menyemarakkan ketegangan agama hanya merugikan negara.

“Sebagai tokoh agama yang berilmu tinggi, beliau sepatutnya menjadi teladan dalam memupuk akhlak dan perpaduan. Malangnya, ketinggian ilmu itu tidak dicerminkan melalui kebijaksanaan dalam berbicara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam yang dipetik sebagai berkata “sejahat-jahat orang Islam, seburuk-buruk orang Islam memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam”.

Chang berkata kenyataan sedemikian bukanlah pertama kali dibuat oleh Abdul Hadi, malah lebih membimbangkan apabila agama digunakan untuk memecahbelahkan masyarakat seolah-olah akhlak seseorang ditentukan oleh agamanya sedangkan Islam sendiri menuntut umatnya berlaku adil dan menghormati sesama manusia.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan antara kekuatan utama Malaysia dalam membangunkan ekonomi serta menarik pelaburan, sementara kestabilan sosial membina keyakinan pelabur dan membuka peluang pekerjaan.

“Persoalannya, adakah PAS begitu terdesak mengejar kuasa sehingga sanggup mempertaruhkan perpaduan rakyat dan kestabilan negara?” katanya.

Chang berkata Malaysia memerlukan pemimpin yang menyatukan rakyat dan bukannya memecahbelahkan masyarakat, selain mengingatkan supaya keharmonian serta masa depan negara tidak dijadikan taruhan kerana terlalu ghairah mengejar kuasa.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh turut mempersoalkan logik kenyataan Abdul Hadi tersebut dalam konteks kerjasama politik pembangkang di Melaka, khususnya membabitkan calon MCA di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang.

“Lebih menarik, dalam ceramah yang sama malam tadi, Presiden MCA turut berucap, manakala Presiden Gerakan Dominic Lau merayu sokongan pengundi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk mengundi calon Gerakan yang sudah tentunya bukan Islam.

“Ini berlaku di hadapan hadirin yang majoritinya orang Melayu. Bagaimana kenyataan Hadi itu harus difahami dalam konteks kerjasama politik mereka sendiri?” katanya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Sehubungan itu, Fuziah berpandangan pengundi Melayu di Kelebang wajar mengundi calon wanita muda Melayu Islam Pakatan Harapan (PH) Farzana Hayani kerana hubungannya dengan gabungan peneraju kerajaan Persekutuan boleh menjadi saluran untuk membawa keperluan penduduk setempat kepada perhatian kerajaan tanpa mengira agama atau bangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai ekstrem serta sarat dengan prasangka agama, malah berpotensi menyemarakkan sentimen kebencian serta memecahbelahkan rakyat pelbagai kaum. 

Beliau berkata lebih membimbangkan apabila kenyataan tersebut datang daripada seorang pemimpin politik kanan yang memiliki latar belakang pendidikan agama serta pengaruh besar dalam kalangan masyarakat Islam.

“Seharusnya kedudukan dan keilmuan tersebut digunakan untuk memupuk kefahaman Islam yang berteraskan keadilan, kebijaksanaan dan kemuliaan akhlak, bukannya membina persepsi bahawa seseorang yang beragama Islam mempunyai kelebihan moral secara mutlak berbanding penganut agama lain, sekalipun melakukan kezaliman,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata AMK berpandangan cubaan membandingkan darjat kezaliman berdasarkan identiti agama merupakan suatu penyimpangan daripada prinsip keadilan yang menjadi asas penting dalam ajaran Islam, selain menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan parti itu dalam membina kerjasama politik merentas kaum dan agama.

“Apakah pandangan sedemikian turut terpakai kepada pemimpin MCA dan Gerakan yang menjadi rakan politik PAS? Atau prinsip berkenaan hanya digunakan apabila berhadapan dengan pihak yang berbeza pendirian politik?” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Kamil berkata AMK mendesak Abdul Hadi memberikan penjelasan secara terbuka, menarik balik kenyataan beliau serta memperbetul persepsi yang ditimbulkan agar masyarakat tidak terus dikelirukan mengenai tuntutan sebenar keadilan dalam Islam.

“Malaysia tidak boleh dibina atas politik ketakutan, prasangka dan perseteruan agama. Negara ini mesti terus dipertahankan sebagai tanah air bersama yang menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta menjamin hak dan kebebasan beragama seluruh rakyat sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata keadilan tidak mengenal warna kulit, keturunan atau agama si pelaku, malah kezaliman tetap wajib ditentang sekalipun dilakukan oleh mereka yang sebangsa, seagama atau sehaluan politik.

Sementara itu, Pengerusi PH Sabah Datuk Mustapha Sakmud menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai melampau, melangkaui batas dan tidak boleh diterima sama sekali.

"Kenyataan sedemikian bukan sahaja menyinggung perasaan penganut agama lain, malah boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak yang sekian lama hidup dalam suasana saling menghormati tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

"Di Sabah, tidak ada tempat untuk politik yang mendiskriminasi penganut agama lain kerana perbezaan agama bukan penghalang kepada hubungan kekeluargaan, persahabatan dan kehidupan bermasyarakat," katanya.

Beliau berkata dalam sebuah keluarga di Sabah terdapat ahli yang menganut agama berbeza namun tetap hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

Mustapha turut menegaskan Islam mengajar umatnya berlaku adil kepada semua manusia tanpa mengira agama, selain keadilan dan kezaliman seseorang pemimpin mesti dinilai berdasarkan perbuatan serta integritinya dan bukan agama yang dianuti.

“Sebagai pemimpin politik dan tokoh agama, Abdul Hadi seharusnya bersikap bertanggungjawab dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan prasangka serta menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Mustapha menyeru rakyat Sabah dan seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Melaka agar sentiasa berwaspada serta menolak parti politik yang menyeru kepada kebencian terhadap penganut agama lain.

-- BERNAMA