Am 13/11/2026 07:03 PM

Permohonan Kebenaran Keluarga Altantuya Untuk Merayu Didengar 25 Feb 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Permohonan Kebenaran Keluarga Altantuya Untuk Merayu Didengar 25 Feb 2027

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 25 Feb tahun depan bagi mendengar permohonan keluarga Altantuya Shaariibuu untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi dalam saman berhubung kematian wanita warga Mongolia itu pada 2006.

Peguam Abraham Au, yang mewakili penganalisis politik Abdul Razak Baginda, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.

Mahkamah turut menetapkan 3 Dis ini untuk mendengar permohonan keluarga Altantuya untuk meminda notis usul bagi mendapatkan kebenaran merayu.

Prosiding pengurusan kes telah berlangsung di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Rohaiza Hamzah semalam.

Keluarga Altantuya memfailkan permohonan itu pada 19 Feb lepas apabila Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa jumlah ganti rugi kepada mereka dikurangkan daripada RM5 juta kepada RM1.4 juta.

Pada 20 Jan lepas, Mahkamah Rayuan turut memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius atas perbuatan bekas anggota polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.

Keluarga itu memfailkan saman terhadap Abdul Razak, Azilah, Sirul Azhar dan kerajaan pada 2007 menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta atas dakwaan kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan emosi serta trauma psikologi.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan semua defendan membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta kepada keluarga Altantuya.

Azilah dan Sirul Azhar disabitkan dengan kesalahan membunuh Altantuya pada 2009.

Bagaimanapun, mereka telah dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan namun keputusan itu kemudian dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan Azilah dan Sirul Hadri pada 2015.

Pada 2023, Mahkamah Persekutuan menukar hukuman mati Azilah kepada pemenjaraan selama 40 tahun selepas membenarkan permohonan semakannya  di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

-- BERNAMA