MELAKA, 13 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) meminta pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 esok agar membuat pilihan berdasarkan prinsip dan nilai dibawa sesebuah parti politik, dan bukan hanya berpandukan sentimen kaum atau agama.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Adam Adli Abd Halim berkata antara kriteria perlu dinilai ialah integriti, ketelusan dalam menggunakan kuasa serta amanah semasa memikul tanggungjawab.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata walaupun faktor kaum dan agama boleh menjadi antara pertimbangan dalam membuat pilihan, ia tidak seharusnya mengatasi prinsip keadilan serta tanggungjawab pemimpin terhadap masyarakat.
“Kalau hendak disebut pilihan dalam politik turut dilandaskan kepada agama dan kaum, saya setuju. Tetapi jangan hanya melihat pada identiti (tetapi) lihat juga nilai yang dibawa.
“Pengundi di Melaka perlu mengekalkan semangat perpaduan dan kebersamaan selain tidak terikat dengan tanggapan sesuatu kaum atau agama hanya mempunyai satu pilihan politik,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi PH Melaka Adly Zahari.
Adam Adli berkata nilai amanah dan tanggungjawab perlu menjadi asas dalam memilih pemimpin selain memastikan kuasa yang diberikan tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi atau pihak tertentu.
Beliau berkata isu berkaitan rasuah, penyelewengan dan ketelusan juga perlu diberikan perhatian oleh pengundi dalam membuat penilaian terhadap parti politik bertanding.
Beliau berkata prinsip kesamarataan undang-undang dan keadilan juga perlu dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Pengundi Melaka juga telah membuktikan kemampuan membuat pilihan politik berbeza dalam beberapa pilihan raya lepas dan saya yakin mereka mampu menilai secara matang berdasarkan isu dan perkembangan semasa meskipun berhadapan pelbagai naratif serta sentimen sepanjang tempoh kempen,” katanya.
Dapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16 menerusi https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.
-- BERNAMA