KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Penglibatan Malaysia dalam badan induk sepak takraw di peringkat Asia dan dunia penting bagi memastikan suara negara terus didengari, selain memainkan peranan dalam pembangunan sukan berkenaan, kata Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan.
Beliau berkata penyertaan dalam Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) memberi ruang kepada Malaysia untuk mengemukakan cadangan berkaitan aspek teknikal, penganjuran kejohanan serta usaha membawa sukan itu ke pentas Olimpik.
Menurut Mohd Sumali, Malaysia perlu mempunyai wakil dalam kedua-dua badan induk berkenaan bagi memperluas peranan negara di peringkat antarabangsa, sekali gus tidak tertumpu kepada penyertaan dalam Sukan SEA dan Sukan Asia sahaja.
“Kita tidak mahu hanya bercakap di luar, tetapi tidak bersuara dalam badan induk. Sudah pasti kalau nak suarakan perkara-perkara yang baik ataupun saranan yang baik kepada badan induk antarabangsa sama ada peringkat Asia ataupun antarabangsa, kita kena duduk dalam itu.
“Sebab itu kalau tak ada dalam itu (badan induk) susah untuk kita berjuang sesuatu perkara tentang teknikal, tentang kejohanan dan sebagainya. Itu pentingnya Malaysia kena ada di dalam ASTAF dan juga ISTAF,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Isnin lepas, Mohd Sumali menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden ASTAF bagi penggal baharu selepas tempoh pencalonan berakhir, manakala Kongres ASTAF yang dijadual berlangsung di Bangkok pada 9 Dis depan bakal melengkapkan pembentukan barisan kepimpinan badan induk itu.
Beliau berkata usaha membawa sepak takraw ke pentas Olimpik menjadi antara keutamaan kepimpinan baharu ASTAF, termasuk menjalin kerjasama strategik dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Majlis Olimpik Asia (OCA) dan ISTAF bagi memenuhi keperluan pengiktirafan sukan berkenaan.
Sementara itu, Mohd Sumali masih mempertimbangkan jawatan bakal ditandinginya dalam pemilihan ISTAF, sama ada Presiden, Timbalan Presiden atau Naib Presiden, menjelang tarikh tutup pencalonan pada 21 Nov ini.
Beliau berkata keputusan itu akan dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan PSM, selain mengambil kira masa dan komitmen diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan serta bekerjasama dengan negara lain bagi memajukan sepak takraw.
“Kalau masa saya banyak dan tiada jawatan penting lain yang memerlukan komitmen, saya tidak akan berfikir panjang untuk bertanding Presiden ISTAF. Tetapi saya perlu fikir jawatan mana yang sesuai dengan komitmen sedia ada,” katanya yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Kongres ISTAF turut dijadual berlangsung di Bangkok pada 9 Dis.
-- BERNAMA