KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) meraih kejayaan membanggakan dengan merangkul tiga pengiktirafan pada Anugerah Media PERKESO i Lindung U 2026 yang berlangsung malam ini.
Pada majlis berkenaan, jurufoto Biro Bernama Kelantan Zulfadhli Zulkifli dinobatkan sebagai pemenang pertama bagi kategori Foto Terbaik, yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000, manakala wartawan Biro Bernama Kelantan Mohd Noor Iqram Rosli meraih tempat kedua bagi kategori Laporan TV dan Video Terbaik yang membawa pulang trofi serta wang tunai RM2,000.
Pegawai Berita Meja Gaya Hidup Bernama Mohd Afiq Zulkifli pula memenangi tempat ketiga bagi kategori Laporan Portal Terbaik, sekali gus membolehkan beliau membawa pulang trofi dan wang tunai RM1,000.
Anugerah disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Subahan Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Ramanan ketika berucap pada majlis tersebut berkata sejak menerajui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada 17 Dis tahun lepas, lebih 40,000 liputan melibatkan kementerian dan PERKESO telah dilaporkan media.
“Perkara ini satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan peranan penting media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata cabaran terbesar yang dihadapi oleh kerajaan dan media ketika ini ialah penyebaran berita palsu melalui media sosial sehingga ada kalanya mengatasi capaian berita sahih.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerjasama erat antara KESUMA dengan media memainkan peranan penting dalam memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan, kebajikan pekerja serta perlindungan sosial dapat disampaikan secara tepat kepada masyarakat.
Sementara itu, Zulfadhli menzahirkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan yang diterimanya.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada PERKESO atas penghargaan ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan media dan keluarga yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat.
“Anugerah ini bukan untuk saya seorang, sebaliknya untuk semua yang sentiasa menyokong dan membantu saya. Pengiktirafan ini juga menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik selepas ini,” katanya.
Mohd Noor Iqram pula berkata pengiktirafan itu merupakan anugerah keempat diraihnya pada tahun ini, sekali gus menjadi pendorong buatnya untuk terus menghasilkan berita yang lebih baik dan berkualiti pada masa akan datang.
“Alhamdulillah, kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada saya … berita televisyen yang memenangi anugerah ini bertajuk ‘Caruman SIP Jadi Penyelamat Selepas VSS (Skim Pemisahan Sukarela)’, yang mengetengahkan manfaat Skim Insurans Pekerjaan (SIP) kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk kembali bangkit meneruskan kehidupan harian,” katanya.
-- BERNAMA