ISLAMABAD, 11 Nov (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya 10 anggota polis terbunuh dalam serangan bersenjata terhadap konvoi mereka di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan pada Rabu, menurut sumber polis, lapor Xinhua.
Serangan itu berlaku kira-kira 1 tengah hari waktu tempatan (8 pagi GMT) ketika konvoi berkenaan dalam perjalanan untuk menjalankan operasi membanteras kegiatan perlombongan haram sebelum diserang hendap oleh sekumpulan bersenjata, menurut sumber itu kepada Xinhua dengan syarat tidak mendedahkan identiti mereka.
Menurut sumber berkenaan, kumpulan bersenjata yang berada di kawasan tanah tinggi berhampiran melepaskan tembakan ke arah anggota polis ketika konvoi melalui kawasan itu.
Penyerang turut membakar lima kenderaan polis manakala pertempuran senjata yang sengit terus berlaku di kawasan berkenaan selepas serangan.
Satu pasukan polis yang besar dikerahkan manakala anggota tambahan turut dihantar ke lokasi kejadian susulan tahap keselamatan yang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi, menurut sumber itu.
Identiti kumpulan penyerang tidak didedahkan oleh sumber berkenaan.
-- BERNAMA-XINHUA