Am 11/11/2026 11:20 PM

PRN Melaka: Keluar Mengundi Awal Pagi Sabtu Ini Elak Hujan - Ahmad Zahid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Melaka: Keluar Mengundi Awal Pagi Sabtu Ini Elak Hujan - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) berucap pada perjumpaan khas jentera Tangga Batu bersama Pengerusi Barisan Nasional. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 11 Nov (Bernama) -- Pengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini disaran keluar menunaikan tanggungjawab seawal pagi bagi mengelakkan sebarang gangguan cuaca susulan Monsun Timur Laut yang lazimnya menyebabkan hujan lebat pada sebelah tengah hari atau petang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu penting bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar, sekali gus mencapai peratusan keluar mengundi yang tinggi.

"Saya mengharapkan sebagaimana yang diunjurkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pada kali ini diharapkan lebih tinggi, walaupun ini musim Timur Laut dan mungkin akan berlaku hujan.

"Saya harap ikutilah ramalan kaji cuaca agar kita keluar mengikut tempoh dan waktu-waktu yang tidak ada hujan dan jika boleh keluarlah di waktu pagi agar jika hujan di tengah hari ataupun sebelah petang, maka proses mengundi itu telah dijalankan dengan sebaik-baiknya," katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu ditemui pemberita selepas majlis makan malam bersama jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang bagi PRN Melaka ke-16 di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata pengundi wajar sentiasa peka dengan maklumat serta ramalan semasa Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi membolehkan mereka menyusun jadual pergerakan ke pusat mengundi dengan lebih teratur.

Pada hari pengundian awal PRN Melaka semalam, sebanyak 94.96 peratus atau 9,417 daripada 9,917 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis melaksanakan tanggungjawab mereka, iaitu hampir mencapai sasaran 95 peratus yang diunjurkan oleh SPR.

Secara keseluruhan, sebanyak 687,697 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada PRN kali ini dengan SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026.

-- BERNAMA