Am 12/11/2026 12:02 AM

Badan Peguam Cabar Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Tahanan Rumah Najib

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Badan Peguam Cabar Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Tahanan Rumah Najib

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Badan Peguam memfailkan tindakan undang-undang baharu bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah.

Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu semalam (10 Nov) di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Penjara dan Najib sebagai responden.

Pihak media memperoleh dokumen itu hari ini. Permohonan berkenaan akan didengar di hadapan Hakim S. Indra Nehru, esok.

Dalam permohonan itu, Badan Peguam memohon deklarasi bahawa sebarang prosiding atau keputusan yang dikatakan dibuat menurut Perkara 40 dan 42 Perlembagaan Persekutuan, seperti yang diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 18 Sept 2026 oleh responden kedua, yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman menerusi kaedah "tahanan rumah" atau "kurungan rumah", adalah tidak sah di sisi undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Badan Peguam turut memohon perintah untuk membatalkan prosiding serta keputusan Lembaga Pengampunan berkenaan selain memohon pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan serta merta, sekiranya kebenaran diberikan, sementara menunggu penyelesaian semakan kehakiman.

Menerusi afidavit yang diikrarkan Setiausaha Badan Peguam Jayabalan Raman Kutty menyatakan permohonan itu membabitkan prinsip penting berkaitan hak perlembagaan dan hak asasi.

Badan itu memaklumkan, tahanan rumah tidak termasuk dalam pengertian pengampunan, penangguhan pelaksanaan hukuman atau pengurangan hukuman di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Jayabalan mendakwa Lembaga Pengampunan berkenaan gagal mempertimbangkan secara sewajarnya faktor berkaitan termasuk sabitan dan hukuman penjara Najib dalam kes lain, beban kewangan akibat jenayahnya serta kesan terhadap keyakinan awam terhadap usaha membanteras rasuah.

Semalam, Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda RM50 juta dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib, 73.

-- BERNAMA