Am 11/11/2026 11:18 PM

Peletakan Jawatan Anthony Loke Satu Kehilangan Besar Buat Kerajaan - Ramanan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Peletakan Jawatan Anthony Loke Satu Kehilangan Besar Buat Kerajaan - Ramanan
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan menyifatkan keputusan Anthony Loke Siew Fook untuk melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan sebagai satu kehilangan besar buat kerajaan.

"Saya sedih... dia sahabat baik saya, dia rakan Kabinet saya... saya akan rindu beliau tetapi ini adalah keputusan dan pendirian beliau...

“Beliau seorang yang sangat berprinsip dan kita kena terimalah... ini satu kehilangan besar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Anugerah Media PERKESO “I Lindung U” 2026 di sini.

Semalam, Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.

Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata keputusan untuk melaksanakan rombakan Kabinet adalah bidang kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan setakat ini, beliau belum menerima sebarang pemakluman mengenainya.

Semalam, Anwar berkata belum tiba masanya untuk mempertimbangkan rombakan Kabinet susulan tempoh pelantikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara yang akan berakhir pada 11 Dis ini.

Mengulas mengenai hari pengundian Pilihan Raya Negeri Melaka pada Sabtu ini, Ramanan yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat menasihati pengundi agar keluar menunaikan tanggungjawab mereka memilih untuk wakil rakyat baharu.

“Saya berharap semua rakyat di Melaka akan menunaikan tanggungjawab mereka dan keluar beramai-ramai mengundi.

“Ini penting kerana ia adalah hak anda dan keputusan anda untuk menentukan siapa yang akan memimpin Negeri Melaka," katanya.

-- BERNAMA