ISTANBUL, 11 Nov (Bernama-Anadolu) -- Lebih 100 sekolah di seluruh Itali menerima ancaman bom menerusi e-mel tanpa nama yang mendakwa terdapat bahan letupan di premis masing-masing, sekali gus mencetuskan pengosongan pelajar dan kakitangan sekolah, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.
Agensi berita Itali (ANSA) melaporkan pada Rabu bahawa e-mel yang dihantar kepada sekolah di beberapa bandar itu mendakwa satu alat letupan berkuasa tinggi diletakkan di dalam beg plastik dan dilengkapi dengan alat pencetus kawalan jauh.
Mesej itu turut mengandungi ancaman keganasan terhadap rakyat Itali dan ditandatangani oleh individu yang mendakwa dirinya sebagai ketua sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Vilayat of Misoginistan.
Pegawai penguat kuasa undang-undang sedang menjalankan pemeriksaan keselamatan di sekolah yang terjejas. Jumlah sekolah yang melaporkan menerima ancaman itu juga terus meningkat.
Insiden itu berlaku selepas kejadian seumpamanya dalam beberapa hari kebelakangan ini, apabila satu e-mel berunsur ancaman dihantar kepada 280 pengetua sekolah.
-- BERNAMA-ANADOLU