Am 11/11/2026 08:47 PM

TPM Ahmad Zahid Ucap Takziah Kepada Keluarga J. Samivel

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TPM  Ahmad Zahid Ucap Takziah Kepada Keluarga J. Samivel
Kredit: FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang J. Samivel, yang terkorban selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Jasin, Melaka, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata beliau turut bersimpati atas pemergian mendiang yang lebih mesra dikenali sebagai Uncle Sam, yang pastinya turut dirasai keluarga besar Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka.

"Semoga keluarga mendiang diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang sukar ini," katanya dalam hantaran itu.

Menerusi hantaran sama, Ahmad Zahid turut mengingatkan seluruh jentera parti, tanpa mengira warna dan lambang perjuangan agar sentiasa berhati-hati serta mengutamakan keselamatan ketika menjalankan tugas.

"Tiada yang lebih berharga daripada nyawa dan keselamatan kita semua," katanya.

Beliau turut berharap segala urusan keluarga mendiang dipermudah serta seluruh petugas pilihan raya sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Jasin Superintenden Lee Robert mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung nahas itu pada 12.45 tengah hari.

Beliau berkata mendiang yang memandu sebuah kereta maut selepas kenderaan itu bertembung dengan sebuah lori membawa muatan buah-buahan.

Samivel merupakan wakil calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan P. Denesh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

-- BERNAMA