KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pindaan Akta Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) akan dibawa ke Parlimen pada Disember ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata Akta 789 akan melibatkan pindaan berkaitan Skim Pengembara manakala Akta 800 membabitkan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB).
Beliau berkata pindaan Akta 789 bertujuan memperkukuh perlindungan sosial rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di luar negara, khususnya lebih 400,000 pekerja yang berulang-alik ke Singapura setiap hari.
"Pada akhir Disember ini, saya sendiri yang akan membawa pindaan Akta 789 berkaitan Skim Pengembara, yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Media Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) i LINDUNG u 2026 dan Sambutan Deepavali Bersama Media di sini malam ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.
Ramanan berkata pindaan Akta 800 pula melibatkan pelaksanaan EPCB yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita.
Beliau berkata kedua-dua pindaan itu merupakan usaha kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memperkukuh perlindungan sosial dan menjaga kebajikan rakyat.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap pihak media dapat membantu memperluas penyebaran maklumat mengenai kedua-dua inisiatif berkenaan agar lebih ramai rakyat mengetahui, memahami dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan.
-- BERNAMA