KOTA BHARU, 11 Nov (Bernama) -- Seekor gajah liar betina berjaya dipindahkan dalam operasi pemindahan hidupan liar di Tanah Merah, semalam, bagi membolehkannya dilepaskan semula ke habitat semula jadi yang lebih sesuai.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya memaklumkan gajah berkenaan yang mempunyai ukuran tapak kaki 13.5 inci berada dalam keadaan sihat selepas operasi pemindahan dilakukan.
Menurut kenyataan itu, keadaan haiwan berkenaan turut dipantau oleh pegawai veterinar bagi memastikan tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik.
Operasi berkenaan melibatkan 27 petugas Perhilitan Kelantan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, dengan bantuan dua ekor gajah denak yang dikenali sebagai Abot dan Sanum.
Perhilitan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan operasi berkenaan bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar serta selamat.
-- BERNAMA