KUCHING, 11 Nov (Bernama) -- Pengembangan mampan ekonomi Malaysia yang dicerminkan menerusi pertumbuhan kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada separuh pertama 2026, memperlihatkan kejayaan pembaharuan ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI serta keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap Malaysia.
“Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sejak empat tahun lepas telah membantu mengukuhkan ekonomi Malaysia.
“Negara kita mempunyai potensi untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chiew, yang juga merupakan Ahli Parlimen Miri berkata daya tahan ekonomi negara itu diperkukuhkan lagi oleh pelaburan bernilai berbilion ringgit di Malaysia.
Beliau berkata perkembangan utama terkini termasuk komitmen pelaburan bernilai US$1.85 bilion (US$1 = RM4.07) bagi infrastruktur kecerdasan buatan (AI) oleh SoftBank Group, Grab dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), di samping pelaburan asing berskala besar yang lain.
“Minggu lepas Google mengumumkan akan melabur sebanyak US$15 bilion di Malaysia bagi tempoh dua tahun akan datang. Pelaburan ini akan menyokong pembangunan kampus pusat data yang cekap tenaga di Selangor dan Negeri Sembilan, dengan potensi mewujudkan 37,000 peluang pekerjaan setiap tahun, termasuk 6,000 pekerjaan dalam sektor pembinaan.
“Pada minggu yang sama, delegasi perniagaan pelabur China yang diketuai Pansy Ho (Naib pengerusi All-China Federation of Industry and Commerce) turut menyatakan minat terhadap potensi pelaburan berjumlah US$15 bilion di Malaysia,” katanya.
Chiew berkata delegasi China itu menunjukkan minat untuk melabur dalam sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor, bahan industri khusus dan kejuruteraan jitu, ekonomi digital dan infrastruktur teknologi, pemprosesan makanan dan produk halal serta pelancongan.
Menurut angka yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, KDNK negara mengekalkan trend peningkatan melantun semula kepada 5.1 peratus pada 2024 daripada 3.5 peratus pada 2023 dan berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025, sebelum meningkat kepada 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, dengan suku kedua mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.0 peratus.
“Saya berharap agar Malaysia dapat mengekalkan prospek ekonomi yang positif ini serta menarik lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara,” katanya.
-- BERNAMA