Am 11/11/2026 09:41 PM

Selangor Lancar SPARK 2027, Buka Laluan Bakat Muda Ke Industri

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Selangor Lancar SPARK 2027, Buka Laluan Bakat Muda Ke Industri

SHAH ALAM, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Selangor Programme for Aspiring, Ready and Knowledgeable Talents (SPARK) 2027 yang menawarkan elaun latihan industri RM1,500 sebulan bagi tempoh tiga hingga enam bulan kepada pelajar anak negeri itu untuk mendapatkan pengalaman kerja sebelum menamatkan pengajian.

Program itu dilancarkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2026 di Setia City Convention Centre, Setia Alam hari ini sebagai langkah melaksanakan komitmen pemberian elaun latihan industri yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2026.

“Graduan kita bukan sahaja memerlukan pengalaman untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi memerlukan pekerjaan untuk memperoleh pengalaman. Selangor mahu memecahkan kitaran ini. Anak muda yang menjalani latihan industri wajar menerima elaun setimpal dengan masa dan usaha mereka,” katanya pada sidang kemuncak itu. 

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor menerajui pelaksanaan program itu dengan menyediakan 50 penempatan di bawah Kumpulan MBI Selangor bagi fasa pertama.

Bagi fasa seterusnya, sebanyak 100 penempatan tambahan disasarkan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, agensi kerajaan negeri serta rakan korporat strategik MBI Selangor, menjadikan sasaran keseluruhan program sebanyak 150 penempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor Datuk Saipolyazan M Yusop berkata peserta SPARK akan diberikan tanggungjawab melaksanakan projek sebenar, selain menerima bimbingan secara langsung daripada pihak pengurusan dan menjalani penilaian berterusan sepanjang tempoh latihan.

“Peserta SPARK tidak akan sekadar menjadi pemerhati. Mereka akan memikul tugasan projek sebenar, dibimbing terus oleh pihak pengurusan dan dinilai secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata pada akhir tempoh latihan, peserta akan membentangkan hasil projek masing-masing kepada panel eksekutif, manakala organisasi penerima boleh mempertimbangkan peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang untuk peluang pekerjaan.

SPARK 2027 terbuka kepada anak Selangor yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam atau swasta, politeknik serta institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Pelajar yang berminat boleh menghantar resume ke hr@mbiselangor.com.my atau memohon menerusi borang permohonan SPARK 2027. Calon yang terpilih akan dipadankan dengan organisasi penerima.

-- BERNAMA